
SELANGOR FC (SFC) mengesahkan penyerang muda kelahiran Brazil, Chrigor Moraes sebagai tonggak serangan baharu mereka bagi menghadapi musim 2025-2026 pada Isnin
Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pemain import kedua yang diumumkan secara rasmi oleh Gergasi Merah bagi memperkuat cabaran mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) serta Kejuaraan Kelab ASEAN.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SFC optimis kehadiran Moraes mampu menambah sengat di jentera serangan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buat ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi yang juga mesra dipanggil sebagai Kino dalam mengatur strategi musim depan.
BACA LAGI : Dollah Salleh kunci mulut, Zainal harap 'jodoh' bersama Imigresen FC berpanjangan
Sebaik sahaja pengumuman dibuat, penyokong skuad The Red Giants tempatan pantas ‘menggali’ statistik Moraes ketika beraksi di beberapa kelab luar negara termasuk di Thailand.
Pengguna media sosial, Adi Alwi berkongsi statistik Moraes ketika bersama kelab PT Prachuap FC, mencatat 10 gol dan dua bantuan gol dalam 13 penampilan.
"Semasa bersama Buriram United, Moraes turut menunjukkan taring dengan tujuh gol dan satu bantuan jaringan dalam 14 perlawanan," tulisnya.
Namun, prestasinya di Brazil bersama Portuguesa dan De Limeira agak kurang menyerlah apabila gagal mencetak sebarang gol dalam 20 penampilan keseluruhan.
Walaupun begitu, penyokong berasakan prestasinya di Brazil itu bukanlah satu ukuran memandangkan Moraes masih muda.
"Umur baru 24 tahun. Ini adalah penyerang import paling muda yang main untuk first team Selangor FC.
"Kat Liga Thai dia boleh score. Ok lah, bagi peluang. Coach Kino yang pilih, trust the process," tulis Adi Alwi lagi.
SFC dijangka memperkenalkan lebih banyak muka baharu dalam masa terdekat bagi melengkapkan skuad musim hadapan, dan kehadiran Moraes dilihat sebagai permulaan kepada fasa pembinaan semula skuad yang lebih kompetitif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram