Sejarah mungkin berulang, terkenang impak 3 import Cameroon lagi-lagi Owona bersama TFC


  • Podium
  • Rabu, 02 Jul 2025

Dari kiri: N'Djeng, Owona dan Bikana merupakan antara bintang Cameroon yang pernah beraksi di Terengganu.

PADA Isnin, Terengganu FC tampil mengusik penyokongnya sendiri apabila memberi bayangan mengenai rekrut ketiga bagi jendela perpindahan kali ini selepas membawa masuk Baqiuddin Shamsudin serta Saiful Jamaludin.

Dalam hantaran di media sosial rasmi, kelab tersebut tidak menyatakan pemain manakah bakal disambar, namun hanya meletakkan sekeping gambar memaparkan pemain itu berasal dari Cameroon.

Meskipun identiti rekrut berkenaan belum disahkan, tinjauan di ruangan komen seperti sudah teruja dengan import dari negara Afrika terbabit kerana mereka tidak pernah mengecewakan.

BACA LAGI: [VIDEO] Onana pulang ke tempat asal, pamer bakat lebih baik dari jaga gawang Man United

BACA LAGI: Badrul Afzan: Usah khuatir barisan depan TFC hilang sengat

Skuad Sang Penyu memberi bayangan bakal membawa import baharu dari Cameroon.

Ini kerana dalam sejarah skuad Sang Penyu, mereka kerap membawa masuk pemain dari benua itu, terutamanya dari Cameroon yang masing-masing berjaya menempa nama dalam ingatan peminat.

Malah, ada daripadanya yang sudah meninggalkan kelab Pantai Timur tersebut untuk bertahun-tahun lamanya, namun reputasi mereka tidak pernah luntur tanpa mengira posisi di atas padang.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga bekas bintang dari Cameroon yang masih dijulang sehingga hari ini selepas impak dibawa buat skuad Sang Penyu sukar dilupakan.

1. Effa Owona

Lebih 10 tahun lalu, Terengganu sudah memberi kepercayaan penuh kepada import 'awang hitam' apabila membawa masuk penyerang, Effa Owona bagi saingan Liga Super 2013.

Pemain tersebut sememangnya cukup dikenali dalam arena bola sepak tempatan selepas menjadi tonggak utama Negeri Sembilan pada musim sebelumnya dengan menjulang Anugerah Kasut Emas.

Owona (tengah) tidak begitu menyerlah semasa bersama skuad Sang Penyu.

Menyedari keunggulan dimiliki peledak dari Cameroon itu, skuad Sang Penyu segera menyambar khidmatnya dengan keputusan berkenaan jelas membawa hasil seperti mana diharapkan.

Meskipun mengalami kecederaan tangan pada pertengahan musim, Owona masih berjaya mencatatkan 14 gol daripada 32 penampilan dalam semua kejohanan yang enam darinya hadir dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, ketiadaan pasangan serasi dan isu kecergasan menyaksikan penyerang tersebut hanya menghabiskan tempoh semusim di Pantai Timur sebelum memilih untuk kembali menyertai Negeri Sembilan.

2. Vincent Bikana

Pada jendela perpindahan sama Owana disambar Terengganu, kelab itu turut sempat membawa masuk bek tengah, Vincent Bikana yang ketika itu baru sahaja 21 tahun.

Pertahanan kental yang sebelum itu berstatus ejen bebas dilihat sebagai pelengkap pasukan untuk digandingkan bersama kapten, Hasmizan Kamarodin serta Faizal Muhammad dalam tembok skuad Sang Penyu.

Berbeza daripada Owana, Bikana tampil cergas sepanjang kempen apabila mencatatkan 26 penampilan dalam semua pertandingan pada musim pertamanya dengan satu gol dicetak ketika berdepan Kelantan di separuh akhir Piala FA.

Bikana (kanan) menghabiskan tempoh tiga musim bersama skuad Sang Penyu.

Kecemerlangan itu menyaksikan pihak pengurusan Terengganu mengekalkan khidmatnya untuk dua musim lagi dengan permainan konsisten terus ditampilkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Tidak cukup dengan itu, khidmat Bikana juga pernah disaksikan buat pasukan negara apabila dia pernah beraksi buat Malaysia XI selain menyatakan hasrat untuk menerima status naturalisasi yang bagaimanapun tidak kesampaian.

Kini, bek tengah dari Cameroon tersebut masih kekal beraksi di atas padang buat kelab Benin, Aziza FC sejak tahun lalu selepas juga pernah berkelana hingga ke Finland dan menyertai Mikkelin FC.

3. Yannick N'Djeng

Meskipun tidak pernah mewakili Terengganu, penyerang kebangsaan Cameroon, Yannick N'Djeng juga pernah beraksi di bumi Darul Iman apabila menyertai T-Team pada 2017.

Dia yang sebelum itu beraksi di Eropah dan Afrika memilih untuk mencuba suasana baharu di Asia dengan kelab tersebut menjadi pilihannya setelah tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

N'Djeng (kiri) gagal meneruskan kecemerlangan seperti mana ditampilkan di luar negara.

Bagaimanapun, berbeza dari Owana dan Bikana, pemain tersebut diingati dengan hal sebaliknya apabila bergelut di barisan hadapan dengan hanya lima gol dijaringkan daripada 14 penampilan.

Pulangan berkenaan sememangnya mengecewakan buat penyerang yang pernah beraksi di pentas antarabangsa selain berpengalaman di Eropah dengan sumbangan itu menyaksikan T-Team menamatkan kempen Liga Super di tangga kesembilan.

Kelab tersebut juga kemudiannya tersingkir dari divisyen teratas bola sepak tempatan apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhasrat meletakkan sebuah sahaja pasukan dari negeri itu dalam Liga Super 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram