
MASA depan penyerang Liverpool, Luis Diaz kini menjadi topik hangat selepas beberapa laporan dari Britain dan pakar perpindahan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan bahawa pemain Colombia itu kini menjadi sasaran utama kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr.
Pemain berusia 28 tahun itu masih terikat dengan kontrak bersama Liverpool sehingga 2027 selepas menyertai kelab tersebut dari Porto pada Januari 2022 dengan nilai perpindahan sebanyak £37.5 juta (RM226 juta).
Sejak itu, dia sudah merekodkan 41 gol dalam 148 penampilan untuk The Reds. Namun, dengan kontraknya yang masih berdasarkan syarat asal, spekulasi timbul bahawa Diaz mungkin berhasrat mendapatkan kontrak baharu yang lebih lumayan.
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi misteri 'bermonolog' Ronaldo lepas kalah undang pelbagai persoalan
BACA LAGI: Kontrak Arab Saudi dah nak habis, Cristiano Ronaldo idam pulang ke Real Madrid
Barcelona sebelum ini menunjukkan minat terhadap pemain sayap lincah itu, namun kesukaran kewangan yang dihadapi kelab Sepanyol itu menjadikan perpindahan berprofil tinggi seperti Diaz agak sukar direalisasikan.
Sementara minat dari Barca masih belum pudar, pesaing baharu dalam perebutan mendapatkan Diaz kini muncul dari Timur Tengah dengan Romano menegaskan bahawa Diaz merupakan antara keutamaan utama kelab itu dalam usaha memperkuatkan skuad menjelang musim baharu.
Kegagalan Al-Nassr meraih sebarang trofi musim ini mencetuskan tekanan untuk memperkukuh barisan pemain. Meskipun terdapat spekulasi mengenai masa depan Cristiano Ronaldo, minat terhadap Diaz dilaporkan tidak berkaitan secara langsung dengannya.
Lebih menarik, sekiranya perpindahan ke Al-Nassr menjadi kenyataan, bintang Brazil berkenaan akan kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya di Liverpool iaitu Sadio Mane.
Diaz menjadi sasaran Al-Nassr. — Agensi
Setakat ini, tiada angka rasmi disebut mengenai nilai perpindahan Diaz, namun skuad The Reds dipercayai akan menuntut keuntungan daripada jualan pemain antarabangsa Colombia berkenaan.
Didorong oleh sokongan kewangan daripada Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF), Al-Nassr dijangka tidak menghadapi masalah untuk memenuhi sebarang tuntutan harga, sekaligus memberi mereka kelebihan berbanding Barcelona dalam persaingan ini.
Namun begitu, laporan turut menyebut bahawa pihak pengurusan Liverpool dijangka akan membuka rundingan lanjutan kontrak bersama Diaz dalam masa terdekat, menandakan bahawa belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai masa depan pemain tersebut di Anfield. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram