Kontrak Arab Saudi dah nak habis, Cristiano Ronaldo idam pulang ke Real Madrid


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Ronaldo kini merancang untuk kembali ke Real Madrid. — Agensi

CRISTIANO Ronaldo dilaporkan sedang merancang kepulangan sensasi ke Real Madrid sebaik sahaja kontraknya bersama Al-Nassr tamat.

Kapten Portugal itu percaya bahawa cara terbaik untuk menamatkan kariernya adalah dengan kembali beraksi di pentas tertinggi bola sepak Eropah.

Menurut laporan El Desmarque, Ronaldo kini mendapat perhatian daripada kelab Arab Saudi, Al-Hilal, serta gergasi Serie A, Inter Milan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain warisan baharu dikesan beraksi di Liga Bangladesh

BACA LAGI: Bukan lagi majikan, Selangor tetap prihatin bekas pemain mangsa letupan gas Putra Heights

Kontraknya di Al-Nassr akan tamat pada Jun 2025 walaupun masih dalam perbincangan untuk lanjutan kontrak, Ronaldo juga sedang mempertimbangkan pilihan lain sekiranya rundingan tidak berjalan lancar.

Kemungkinan Ronaldo kembali ke Real Madrid menjadi satu kejutan, memandangkan dia sebelum ini menegaskan bahawa masanya di kelab Eropah sudah berakhir.

Pada 2023, ESPN memetik kenyataannya: "Saya 100 peratus yakin bahawa saya tidak akan kembali ke mana-mana kelab Eropah. Saya sudah berusia 38 tahun. Bola sepak Eropah telah kehilangan banyak kualiti. Satu-satunya liga yang masih bagus hanyalah Liga Perdana Inggeris. Mereka jauh ke depan berbanding liga lain."

Sementara itu, Al-Hilal dilaporkan sedang mencari pemain bintang baharu selepas menamatkan kontrak Neymar.

Kelab tersebut juga dikaitkan dengan Mohamed Salah, yang mana kontraknya bersama Liverpool akan tamat musim panas ini.

Ronaldo sebelum ini mendedahkan bahawa keputusannya meninggalkan Real Madrid pada 2018 adalah kerana dia tidak lagi merasakan dirinya dihargai oleh kelab tersebut.

Pemain berusia 40 tahun itu turut menyatakan bahawa Presiden Real Madrid, Florentino Perez, tidak bersungguh-sungguh menahannya untuk kekal.

Dalam satu temu bual bersama The Guardian, Ronaldo berkata: "Saya dapat merasakan di dalam kelab, terutamanya daripada presiden, bahawa mereka tidak lagi melihat saya dengan cara yang sama seperti di awal kedatangan saya. Dalam empat hingga lima tahun pertama, saya merasakan bahawa saya benar-benar ‘Cristiano Ronaldo’, tetapi kurang selepas itu. Presiden melihat saya dengan pandangan yang tidak lagi sama, seolah-olah saya bukan lagi seorang pemain yang tidak boleh digantikan. Itulah yang membuat saya berfikir untuk pergi. Hakikatnya, presiden mahu saya kekal, tetapi pada masa yang sama, beliau juga memberi isyarat bahawa pemergian saya bukan satu masalah bagi mereka."

Ronaldo akhirnya menyertai Juventus dengan nilai perpindahan sekitar €100 juta (RM487 juta) selepas membantu Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2018.

Sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu, Ronaldo telah beraksi dalam 438 perlawanan dan menjaringkan 450 gol dalam semua pertandingan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram