[VIDEO] Poopathi bangkit 8 tahun lepas ditunjuk jalan BAM, pasang cita-cita ke Olimpik


  • Podium
  • Ahad, 29 Jun 2025

Antara aksi Poopathi dalam kejohanan Piala Asics Masiswa 2025. — Facebook/Strivnite

TIDAK lagi bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan alasan buat pemain kebangsaan, Poopathi Velayutham mengejar cita-citanya dalan sukan badminton. 

Pemain berusia 21 tahun berkenaan yang kini beraksi secara profesional dan mewakili banyak kejohanan-kejohanan lain di bawah program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengakui bahawa dia sedang giat berusaha merealisasikan impian besarnya.

Terbaharu, bekas pemain regu lelaki kebangsan itu mewakili universitinya menyertai Piala Asics Masiswa 2025 yang berlangsung di Taylor's University di Subang Jaya, Selangor dari 26-28 Jun 2025.

BACA LAGI: [VIDEO] Prospek regu wanita negara anggap Asics Masiswa persediaan ke Kejohanan Remaja Asia  

BACA LAGI: [VIDEO] Sedih dibuang BAM, pemain badminton negara 'move on' mahu fokus belajar

Dia yang juga merupakan penuntut di universiti swasta berkenaan dinobatkan sebagai johan dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki dalam acara yang disertai 350 pemain dari 26 universiti swasta berkenaan. 

"Ini adalah kali kedua saya (bertanding dalam kejohanan universiti). Tahun lalu, saya tewas di suku akhir. Tapi tahun ini, saya benar-benar berlatih keras. Saya gembira dengan hasilnya, dan saya mahu kembali dengan lebih kuat.

"Saya berlatih di bawah KPT untuk Malaysia Universiti. Coach Zakry dan coach Rashid banyak membantu saya, terutama dalam membina semula keyakinan diri dan memperbaiki permainan. Saya amat berterima kasih kepada mereka.

"Saya memang rasa kecewa ketika dikeluarkan BAM. Memang rasa kecewa kerana saya tidak boleh teruskan. Selepas beberapa bulan, saya memang rasa kecewa. Kemudian, saya mula belajar. Lepas itu, saya mula berusaha sebagai seorang pemain profesional," katanya kepada Majoriti. 

Poopathi dinobatkan sebagai johan dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki.

Poopathi yang bersama BAM sejak berusia 13 tahun tidak menafikan melalui fasa sukar selepas dikeluarkan dari persatuan itu dan detik peralihan tersebut menjadi titik tolak penting dalam pembentukan dirinya sebagai atlet profesional. 

Meskipun sudah tidak bersama badan induk badminton itu, Poopathi masih memasang impian untuk menyasarkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dunia dengan menyifatkan ia sebagai satu misi yang dilihat mencabar namun bukan mustahil.

“Saya ingin bermain dalam Olimpik dan Kejohanan Dunia. Tapi pertama sekali, saya ingin menyertai lebih banyak pertandingan dan capai ranking 10 terbaik dunia. Sekarang masih jauh lagi. Sebelum keluar BAM, saya tidak banyak sertai kejohanan. 

“Sekarang sebagai pemain profesional, semuanya lebih sukar. Saya kena cari tempat latihan sendiri, dan kena keluarkan duit sendiri. Tapi itulah yang beri saya keyakinan untuk berlatih lebih keras. 

"Mungkin dulu saya berada dalam zon selesa. Sekarang saya anggap ini sebagai cabaran yang bagus,” katanya yang bersama BAM selama lapan tahun. 

Ditanya tentang kemungkinan kembali ke BAM, Poopathi tidak menolak jika diberi peluang semula susulan badan induk itu mampu membantu karier profesioanalnya lebih baik pada masa depan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram