
ISU pergaduhan melibatkan pemain ketika saingan bola sepak sosial berlangsung bukanlah sesuatu yang baharu kerana situasi sedemikian berulang saban tahun meskipun ramai meminta penyelesaian segera diambil pihak bertanggungjawab.
Malah, lebih mendukacitakan lagi, senario berkenaan turut menyaksikan individu tidak bersalah menjadi mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan yang melenyapkan nilai kesukanan.
Kekecohan sedemikian terjadi baru-baru ini ketika perlawanan melibatkan Shah Alam Antlers dan Neo X di XFox Subang di Shah Alam, Selangor dalam saingan Liga Juara-Juara A-Ligue.
BACA LAGI: Pilih kekal dalam dunia bola sepak, Nurri akui gembira di atas padang
BACA LAGI: Dah lebih 10 tahun, bekas import Kedah, JDT, Selangor rupanya masih aktif bola sepak
Perbalahan kedua-dua pasukan pada awalnya berpunca daripada beberapa siri kekasaran sehingga menyaksikan pemain Neo X menolak pihak lawan sehingga menyebabkan kecederaan.
Berang akan kekasaran tersebut, seorang pemain Shah Alam Antlers bertindak mencekak leher baju sehingga mendesak kapten Neo X dan penjaga garisan pantas meleraikan keadaan.
Kekecohan bagaimanapun tidak berpanjangan apabila masing-masing mempamerkan sikap matang untuk tidak mengeruhkan keadaan, namun tidak dipastikan pemain manakah dilayangkan kad.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata menyifatkan mentaliti pemain wajar dipersoalkan, namun kelewatan pengadil dalam menghentikan aksi juga perlu dibincangkan.
"Kalau pengadil tonton semula klip ini, sudah tentu dia malu sendiri. Kenapalah tidak menyedari lebih awal? Pengadil boleh meniup wisel semasa kekasaran pertama dilakukan, kekasaran kedua boleh diberi kad kuning. Kad merah pula untuk tindakan ketiga," kata Ahmad Nor Mupangat.
"Pengadil lembab. Bentesan pertama sepatutnya boleh ditiupkan wisel untuk beri amaran," kata Rushdi Afifi.
"Masalahnya, pengadil yang mengendalikan pertandingan. Apabila keadaan begini, senang sahaja. Berikan kad merah kepada yang terlibat. Suruh mereka bergaduh di luar," kata Aji Shuib.
Meskipun ada yang menyatakan kesalahan tidak patut diletakkan di bahu pengadil, ketegasan mereka di atas padang perlu ditonjolkan bagi mengelak perbalahan itu tercetus.
Setakat ini, pihak penganjur mahupun pengurusan kedua-dua kelab belum memberi sebarang kenyataan berhubung insiden itu dengan klip tersebut tidak memaparkan mana-mana individu mengalami kecederaan.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan buat Neo X menerusi keputusan 2-0 dengan orang ramai sudah tentu mengharapkan situasi tegang sebegitu tidak lagi berulang setiap kali aksi liga sosial berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram