[VIDEO] Bos di JB ringan tangan pukul staf hilangkan dokumen, wanita buat laporan polis


  • Kes
  • Khamis, 29 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan seorang pekerja wanita dipukul majikannya di Johor pada 15 Mei lalu.

SEORANG wanita membuat laporan polis selepas didakwa dikasari majikannya di tempat kerjanya di Taman Kota Masai, Johor pada 15 Mei lalu.

Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial sejak Khamis, pergaduhan mereka juga dikatakan berlaku disebabkan salah faham.

Dalam video sama, seorang lelaki dipercayai majikannya memarahi, menolak dan memukul mangsa.

BACA LAGI: 'Lebih layak dan berpengalaman', Johari Abdul Ghani diramal bakal ganti Rafizi

BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh muka Presiden Perancis ditampar isteri, alasannya sekadar gurauan

 

 

 

 

Berdasarkan laporan polis yang dikongsikan orang awam, mangsa sebelum itu dituduh menghilangkan dokumen sekolah.

Mangsa bagaimanapun mendakwa tidak menerima sebarang dokumen yang diminta oleh majikannya.

Disebabkan rasa tidak puas hati, majikannya didakwa bertindak agresif lalu menarik baju mangsa secara kasar sebelum menghalaunya keluar dari pejabat.

Pada masa sama, lelaki terbabit turut menyentuh bahu, leher, menarik tangan dan menolaknya sehingga menyebabkan kesakitan pada anggota badan mangsa.

Pertengkaran mulut itu bertambah serius apabila lelaki terbabit menarik wanita tersebut yang sedang duduk di kerusinya hingga terjatuh.

Lelaki itu kemudian menolak wanita tersebut beberapa kali sebelum menariknya ke arah pintu untuk memaksanya keluar dari pejabat.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 34 tahun pukul 5.53 petang hari yang sama.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehinga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

"Siasatan sudah selesai dijalankan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor semalam untuk mendapat arahan selanjutnya.

"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat spekulasi bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Syafiq Zamziba 014-9242724 atau hubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam 07-3864222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram