
BEKAS pemain Perak FC, Nurridzuan Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Nurri kini meneruskan legasi dalam dunia bola sepak dengan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Prima United FC.
Beliau kini giat membangunkan bakat muda tempatan menerusi pembentukan skuad Bawah 14 dan Bawah 16 Tahun, sebagai langkah awal melahirkan pemain berkualiti untuk masa depan bola sepak negara.
Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini, Nurri memaklumkan bahawa Prima United sedang mencari pemain muda berbakat untuk menyertai Liga Junior X serta membentuk skuad utama bagi menghadapi saingan Liga PBI-Ipoh Divisyen 1.
BACA LAGI: Pilih tinggalkan padang, 3 pemain termasuk Messi Malaysia pilih gelanggang futsal
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas aksi mengecewakan, Amad Diallo 'koyak' tunjuk isyarat lucah
Nurri (dua kiri) kini meneruskan legasi bola sepaknya sebagai jurulatih pasukan Prima United FC. — Instagram/nurr16zuan
Menariknya, Nurri tidak bersendirian dalam usaha ini. Beliau dibantu oleh bekas penjaga gol berpengalaman Perak, Khairul Amir Salehuddin, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Penolong Jurulatih merangkap Jurulatih Penjaga Gol pasukan tersebut.
Mengulas mengenai peranan barunya, Nurri meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membimbing pasukan pelapis negeri Perak.
Beliau turut berkongsi bahawa dia mempunyai misi dan matlamat tersendiri dalam menyampaikan ilmu serta membentuk pemain muda menjadi profesional suatu hari nanti.
"Alhamdulillah diberi kepercayaan dan peluang untuk menjadi Ketua Jurulatih pasukan Prima United FC.
"Hasrat saya untuk melatih kerana ingin memberi pengetahuan tentang bagaimana cara menuju ke arah pemain profesional," katanya kepada Majoriti.
Bagi Nurri, bola sepak bukan sekadar kerjaya, tetapi merupakan minat dan gaya hidup yang memberi makna dalam kehidupannya.
Tambahnya, kerjaya sebagai pemain bola sepak bukan semata-mata untuk menjadi profesional, sebaliknya didorong oleh minat yang mendalam terhadap sukan tersebut.
"Saya memilih bola sepak sebagai sukan kegemaran utama dan juga hobi, bagi saya bola sepak bukan sekadar kerjaya semata-mata, ia juga hobi, minat dan gaya hidup yang bermakna.
"Ramai pemain bola sepak bermain bukan untuk menjadi pemain profesional, tetapi kerana minat terhadap bola sepak," jelasnya.
Selain Perak, Nurri (kanan) pernah menyarung jersi Sri Pahang, PKNS FC, Selangor dan Melaka United FC. — Facebook
Menariknya, Nurri turut berkongsi bahawa sukan bola sepak membantunya kekal cergas, melepaskan tekanan, serta memberikan kegembiraan dan kepuasan diri.
"Sejujurnya, bola sepak menjadi cara untuk saya release stress, bergaul dengan kawan-kawan dan keep my body fit, apabila bermain tujuannya bukan gol nak semata-mata tetapi dapat mengejar kegembiraan dan kepuasan diri," tambahnya.
Tambah Nurri, biarpun tidak semua mampu menjadikan bola sepak sebagai sumber pendapatan, sesiapa sahaja boleh menjadikannya sebagai sebahagian daripada gaya hidup.
Menurutnya, ramai yang memilih untuk menceburi bidang lain seperti perniagaan kerana menyedari risiko kecederaan dalam bola sepak boleh menjejaskan masa depan kerjaya mereka.
"Walaupun seseorang tak mampu menjadi pemain bola sepak sebagai sumber pendapatan, sesiapapun boleh menjadikan bola sepak sebahagian dari kehidupan.
"Pendapat saya, rakan lain ke arah bisnes disebabkan sukan bola sepak berisiko tinggi dan apabila cedera akan beri kesan kepada kerjaya, sebab tu mereka pilih ke arah bisnes," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram