
BAGI menjanjikan minit permainan lebih kerap, sesetengah pasukan Liga Super mengambil keputusan melepaskan pemain secara pinjaman ke mana-mana kelab yang berminat.
Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pasukan yang cukup gemar berbuat demikian kerana sepanjang musim ini, 13 pemain daripada skuad utama dilepaskan secara pinjaman.
Pasukan atasan lain seperti Selangor FC dan Terengganu FC turut mengambil pendekatan sama dengan membenarkan sebilangan pemain untuk dipinjam keluar pada jendela perpindahan lalu.
BACA LAGI: Legenda JDT miliki masa depan cerah ikut jejak Lee Tuck, ceburi bidang hartanah
BACA LAGI: Prestasi liga jejas keyakinan Sri Pahang harung final Piala Malaysia — Fandi Ahmad
Ini merupakan situasi menang-menang diguna pakai memandangkan kelab lain dapat menikmati sentuhan bintang yang diberikan sesi latihan serba lengkap sementara majikan utama tidak perlu memikirkan mengenai minit permainan setiap pemain.
Keputusan sedemikian jelas membuahkan hasil kerana terdapat nama-nama dipinjamkan keluar meraih manfaat daripada peluang beraksi secara kerap, sekali gus membuka peluang untuk menembusi skuad utama usai tempoh di kelab baharu berakhir.
Berdasarkan pemerhatian, berikut merupakan tiga pemain dari JDT, Selangor FC dan Terengganu yang bersinar sepanjang dipinjamkan dengan ia membuka ruang diserap musim depan.
1) Manuel Hidalgo (JDT)
Seperti dinyatakan di atas, JDT adalah kelab yang paling kerap melepaskan pemain secara pinjaman sepanjang musim dengan pendekatan itu diambil bagi memastikan setiap pemain meraih minit permainan mencukupi.
Namun, dalam kalangan mereka yang dilepaskan, Manuel Hidalgo yang menyertai Sri Pahang FC dengan tempoh semusim jelas meraih manfaat terbaik kerana dia berjaya menjadi watak utama kelab Pantai Timur itu.
Ini kerana pemain sayap Argentina tersebut sudah biasa dengan suasana dalam skuad Tok Gajah kerana pernah beraksi buat pasukan itu selama dua musim sebelum berkelana ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Hidalgo menjadi watak utama yang membantu skuad Tok Gajah mara ke pentas akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC
Keserasian dalam pasukan sekali gus memberi ruang buat Hidalgo memberi impak terbaik buat Sri Pahang FC yang berjaya layak ke pentas akhir Piala Malaysia meskipun bergelut dalam Liga Super.
Jadi, sekiranya prestasi memberangsangkan itu dapat diteruskan, dia sudah tidak mempunyai sebarang masalah untuk merebut tempat dalam skuad Harimau Selatan meskipun terdapat pemain lain yang sudah mengukuhkan tempat sebagai pemain sayap utama JDT.
2) Richmond Ankrah (Selangor FC)
Richmond kembali mendapat keyakinan dalam skuad Harimau Kumbang sejak dipinjamkan. — Facebook/Penang FC
Pada jendela perpindahan pertama, Selangor FC mengambil keputusan melepaskan beberapa pemain yang memerlukan minit permainan lebih kerap.
Salah seorang yang dibenarkan meninggalkan kelab itu ialah Richmond Ankrah kerana dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan atau skuad belia sejak tiba di Lembah Klang.
Pemain kelahiran Ghana itu dipinjamkan ke Penang FC yang memerlukan seorang bek tengah berkualiti untuk diletak di samping kapten pasukan, Rafael Vitor.
Langkah itu sememangnya menguntungkan semua pihak dengan Richmond dan skuad Harimau Kumbang menikmati tempoh agak baik sementara Selangor FC tidak perlu memikirkan perkembangan pemain pertahanan mereka tersebut.
Perubahan positif ditampilkan bek tengah tersebut membuka peluang buatnya diserap terus ke dalam skuad Gergasi Merah musim depan dengan dia boleh digandingkan bersama Safuwan Baharudin atau Harith Haiqal.
3) Arif Fadzilah (Terengganu FC)
Posisi bek sayap bukanlah isu besar buat Terengganu FC yang memiliki pelbagai pilihan lain seperti Ubaidullah Shamsul Fazili serta Safwan Mazlan dengan masing-masing cemerlang dalam peranan itu.
Bagaimanapun, mereka perlu memperkukuhkan lagi benteng pada musim depan dengan Azam Azmi Murad akan berkelana ke JDT sementara Alif Zakaria terus bergelut dengan isu kecederaan.
Jadi, untuk memenuhi hasrat itu, skuad Sang Penyu boleh memilih untuk memanggil semula bek kiri, Arif Fadzilah yang cemerlang sejak beraksi di Kuching City FC.
Arif berjaya mengubah nasib sejak menyertai skuad The Cats. — Facebook/Kuching City FC
Dia yang menyertai kelab Borneo tersebut secara pinjaman mudah menyesuaikan diri sehingga berjaya membantu mereka memanjat ke tangga ketiga Liga Super ketika ini.
Pihak kejurulatihan Terengganu FC boleh memilih untuk mendapatkan semula khidmat pemain pertahanan sayap itu untuk sekurang-kurangnya mengisi kekosongan Alif Zakaria atau Azam Azmi jika terpaksa.
Bagaimanapun, sekiranya Arif selesa di Borneo tanah air, dia pasti terbuka untuk kekal di sana dengan harapan meraih minit permainan musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram