Alang-alang sambar Willian Lira, Selangor boleh 'done deal' 3 lagi ex import Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Willian Lira dilaporkan bakal menyertai skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kali ini. — Facebook/KDA FC

KETIKA ini, heboh diperkatakan di media sosial kononnya Selangor FC mahu membawa masuk bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira bagi memperkuatkan barisan hadapan musim depan.

Ura-ura tersebut boleh dikatakan cukup menarik untuk disaksikan memandangkan import dari Brazil itu pernah mencatatkan lapan gol dan dua bantuan jaringan dalam 14 penampilan Liga Super buat skuad Sang Kenari.

Pulangan itu bagaimanapun dianggap kurang memberangsangkan, lebih-lebih lagi KDA FC ketika itu memiliki pemain berkualiti seperti Lee Tuck dan Manuel Hidalgo yang boleh menghidangkan peluang besar buatnya.

BACA LAGI: Jodoh masih bertaut, Selangor-NSFC-Penang dikhabar rekrut semula ex-import Liga Super

BACA LAGI: 'Bagilah peluang, Gergasi Merah patut berbangga dengan kualiti produk ubi muda'

Ronnie Fernandez dilaporkan tidak akan lagi bersama skuad Gergasi Merah musim depan. Facebook/Selangor FC

Sekiranya perpindahan tersebut direalisasikan, skuad Gergasi Merah pasti dapat memberi saingan hebat di pentas domestik dan Asia musim depan kerana Willian Lira tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri.

Namun, jika Selangor FC mahu berbuat demikian, tidak salah sekiranya mereka terus mendapatkan khidmat bekas import dari kelab Utara tanah air tersebut bagi menutup kekurangan dalam pasukan.

Ini kerana dalam beberapa musim kebelakangan ini, KDA FC dibarisi lambakan pemain luar negara bermutu tinggi dengan tiga daripadanya sesuai dengan gaya permainan skuad Gergasi Merah.

1. Sukhrob Nurullaev

Musim lalu, skuad Sang Kenari yang bermasalah dari segi kewangan turut sempat membawa masuk import baharu, termasuk Sukhrob Nurullaev yang dilaporkan menelan kos €100,000 (RM513,104).

Bagaimanapun, dengan isu kewangan terus membelenggu, khidmat pemain sayap dari Uzbekistan itu hanya mampu bertahan untuk separuh musim sebelum menyaksikannya pulang ke negara Asia Tengah berkenaan dan menyertai FC Nasaf.

Sukhrob yang baru berusia 27 tahun merupakan pelan jangka masa panjang buat Selangor FC. Facebook/KDA FC

Meskipun hanya sementara, impak ditinggalkan penyerang berusia 27 tahun itu boleh dianggap cukup baik dengan tiga gol dan tiga bantuan jaringan direkodkan daripada 17 penampilan dicatatkan dalam semua pertandingan.

Statistik itu menceritakan Sukhrob sebagai seorang bintang boleh diharapkan di posisi sayap dengan Selangor FC perlu segera mendapatkan khidmatnya bagi meringankan beban dipikul Alvin Fortes dan Faisal Halim.

Meskipun kontraknya bersama FC Nasaf hanya akan tamat pada hujung tahun, kewangan kukuh kelab Lembah Klang tersebut akan membolehkan perpindahan itu direalisasikan sebelum pembukaan musim baharu.

2. Habib Haroon

Selain posisi sayap menyerang, posisi tengah skuad Gergasi Merah juga perlu diperkuatkan selepas beberapa pemain seperti Nikola Jambor, Alex Agyarkwa dan Mukhairi Ajmal dilaporkan akan ditunjukkan jalan keluar.

Bagi mewujudkan kestabilan dalam pasukan, Selangor FC memerlukan seseorang yang boleh mematahkan serangan pasukan lawan selain dapat mencipta tiga serangkai lebih kukuh antara Nooa Laine dan Noor al-Rawabdeh.

Habib boleh mencipta gandingan tiga serangkai yang stabil buat skuad Gergasi Merah. Facebook/KDA FC

Salah seorang pemain yang boleh diketengahkan ialah Habib Haroon selepas bakatnya ditonjolkan semasa bersama Terengganu FC dan KDA FC dengan dia mampu beraksi di samping sesiapa pun.

Dia yang kini baru berusia 24 tahun boleh menjadi prospek jangka masa panjang buat skuad Gergasi Merah yang mahu bersaing dalam jangka masa lebih panjang dalam arena bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, cabaran besar dihadapi Selangor FC untuk memikat Habib Haroon yang kini sudah kembali ke Timur Tengah dan beraksi buat Bahrain SC dengan tidak dapat dipastikan bilakah kontraknya akan berakhir.

3. Cleylton Santos

Meskipun sudah memiliki Harith Haiqal dan Sharul Nazeem Zulpakar sebagai bek tengah utama, Selangor FC masih perlu membawa masuk pemain import di posisi tersebut bagi menutup kekosongan ditinggalkan Safuwan Baharudin.

Berdasarkan pemerhatian musim lalu, skuad Gergasi Merah memerlukan seseorang yang lasak dalam barisan pertahanan untuk mengekang pihak lawan selain mampu mencetak gol sekiranya diperlukan.

Cleylton membuktikan dirinya mampu mencetak gol jika diperlukan. Facebook/KDA FC

Cleylton Santos yang pernah bersama KDA FC boleh diletakkan sebagai calon terbaik kerana sepanjang separuh musim bersama skuad Sang Kenari, dia menjadi watak utama dari segi pertahanan mahupun serangan.

Ini kerana pemain dari Brazil berkenaan berjaya mencetak empat gol dan satu bantuan jaringan dalam 15 penampilan Liga Super dengan sumbangan itu amat diperlukan Selangor FC, lebih-lebih lagi pada minit-minit akhir permainan.

Dia yang kini beraksi di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee di Persis Solo pasti dapat disambar skuad Gergasi Merah yang tidak mengalami masalah kewangan selain akan berentap di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram