Penyokong ajak Lee Tuck wakil Olimpik Malaysia, bakal pemain naturalisasi negara tumpang gembira


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Lee Tuck membawa nama negara dalam saingan Hyrox World Championship 2024.

NAMA bekas pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Andrew Tuck kembali menjadi sebutan peminat bola sepak negara ketika ini.

Ia selepas Lee Tuck memuat naik satu hantaran video di Instagram yang menyatakan dia dan lima lagi atlet akan membawa nama negara dalam saingan Hyrox World Championship 2024.

Berdasarkan video berdurasi 10 saat berkenaan, peserta yang akan membawa nama negara ialah Christina Lew, Kai Han Gan, Sarah Iqbal dan Teresa John.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi Terengganu' antara 3 pemain 'one season wonder', sama seperti bintang EPL

BACA LAGI: Lee Tuck masih 'fit', raih tempat pertama acara sukan lasak di Sepanyol

Hyrox World Championship merupakan kejohanan yang diadakan untuk menguji kecergasan individu dengan Lee Tuck merupakan salah seorang yang sudah menyertainya tahun lalu.

"Mewakili Malaysia dalam Hyrox World Championship. Nampaknya, hanya kami berlima yang berjaya sampai ke final di mana ia sesuatu yang hebat," katanya.

Penyertaan Lee Tuck dengan menggunakan kerakyatan Malaysia itu mendapat reaksi positif daripada penyokong tempatan.

"Akhirnya, Lee Tuck menggunakan kerakyatan Malaysia," kata Arif Asri.

"Kalau ada acara Olimpik boleh masuk wakil Malaysia," ujar Muzaffarrazak.

"Lee Tuck mari kembali ke Malaysia dan bermain untuk skuad kebangsaan," luah Pencipta Video.

"Muhamad Lee Tuck, semoga berjaya kawan," jelas Argzim Redzovic.

Untuk info, Argzim Redzovic turut dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia selepas cukup tempoh beraksi di negara ini lebih lima tahun.

Selain itu, dia juga mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan sekali gus melayakkan dirinya untuk mempunyai kerakyatan negara ini.

Sebelum ini, kecoh apabila pemain naturalisasi negara, Lee Tuck menyertai satu pertandingan kecergasan di United Kingdom tahun lalu dengan menggunakan kerakyatan asalnya sebagai penduduk England.

Situasi itu sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan sehingga orang ramai mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melakukan siasatan di samping menarik semula kad pengenalannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram