
KEDAH Darul Aman (KDA) FC masih bersungguh-sungguh untuk terus kekal beraksi dalam arena bola sepak tanah air selepas menyatakan hasrat terus bersaing dalam Liga A1 Semi Pro musim depan.
Tindakan itu diambil susulan pendirian tegas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyekat penyertaan skuad Sang Kenari dalam divisyen utama bagi kempen 2025/26 meskipun mereka sudah mendapatkan sumber kewangan baharu.
Bagaimanapun, keputusan badan pengelola Liga Super itu wajar dipuji memandangkan masalah sama boleh berulang dengan peminat Hijau Kuning sendiri percaya ketiadaan kelab Utara tanah air tersebut sebagai satu rahmat.
BACA LAGI: Irfan Bakti ajak peminat meriahkan Liga A1 Semi-Pro sebagai ganti
BACA LAGI: ‘Bukan penamat’, Kedah pilih Liga A1 demi misi hidupkan legasi
Malah, sekiranya dilihat menerusi skop jangka masa panjang, penyertaan KDA FC dalam saingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu boleh menyajikan pelbagai manfaat buat pasukan yang sedang membangun itu.
Perkara itu dibuktikan juara Liga A1 Semi Pro musim ini, Melaka FC yang dahulunya 'terkubur' akibat masalah kewangan, namun kini sudah kembali bernafas selepas dua musim menyepi dari Liga Super.
Tetapi, sekiranya KDA FC layak beraksi dalam saingan peringkat amatur itu, mereka perlu mengambil tiga langkah demi memastikan nama skuad Sang Kenari tidak dilupakan selain berpeluang kembali ke divisyen teratas.
1. Awasi kos operasi
Pada awal pengambilalihan kelab pada 2023, Tan Sri Mohd Daud Bakar melakukan pelaburan besar-besaran dengan membawa masuk lambakan import berkualiti serta pemain warisan seperti Lee Tuck.
Kemasukan secara beramai-ramai itu membuktikan cita-cita besar dimiliki pemegang saham baharu tersebut untuk membawa KDA FC ke tahap lebih tinggi selepas beberapa musim sukar memberi saingan.
Cita-cita skuad Sang Kenari terlalu besar pada awal pengambilalihan kira-kira tiga tahun lalu. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, perbelanjaan besar tersebut akhirnya memakan diri kerana pada pertengahan musim berkenaan, skuad Sang Kenari mengalami masalah dalaman yang kesannya boleh disaksikan sehingga hari ini.
Ia boleh dikatakan sebagai pengajaran buat Daud Bakar serta pihak pengurusan kelab untuk tidak mengulangi kesilapan sama dengan membawa masuk pemain dengan permintaan gaji terlalu tinggi yang akhirnya hanya menjerat diri.
Meskipun ramai beranggapan pemain berkelas sederhana tidak boleh menjanjikan kejayaan, kestabilan merupakan fokus utama yang perlu dititikberatkan KDA FC sebelum mereka boleh kembali bercita-cita besar.
2. Cipta hubungan kukuh bersama penyokong
Tidak boleh dinafikan bahawa sokongan peminat Hijau Kuning terhadap KDA FC musim lalu masih utuh meskipun keputusan dialami pasukan Utara tanah air berkenaan cukup mengecewakan, lebih-lebih lagi dalam Liga Super.
Bukti daripada pandangan itu dapat disaksikan apabila penyokong masih sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menyaksikan perlawanan skuad Sang Kenari di tempat lawan dan di gelanggang sendiri.
Hubungan kukuh penyokong merupakan satu kelebihan dimiliki skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Jadi, kekuatan sebegitu tidak boleh disia-siakan dengan kehadiran peminat pada hari perlawanan sekurang-kurangnya dapat mewujudkan sumber kewangan selain membuka ruang untuk penjualan barangan keluaran kelab.
Inisiatif lain boleh dilakukan adalah dengan mengadakan program menyantuni penyokong seperti mana kerap dilakukan Terengganu FC dan Selangor FC sehingga orang ramai berasa dihargai.
Selain itu, pihak pengurusan boleh mengadakan program kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menjalin kerjasama dalam mengasah bakat muda yang akhirnya membawa kesan jangka masa panjang.
3. Pasang cita-cita realistik
Seperti dinyatakan di atas, KDA FC tidak perlu berbelanja besar sepanjang tempoh pramusim untuk membawa masuk nama-nama baharu dengan reputasi besar kerana ia akhirnya hanya akan menjerat diri.
Meskipun keberadaan pemain bintang akan menjanjikan kejayaan segera, ia akan menyaksikan skuad Sang Kenari mengalami kemelut lama sehingga menjejaskan matlamat baharu beraksi dalam Liga Super.
Peluang beraksi dalam Liga A1 Semi Pro boleh menyajikan kestabilan buat KDA FC.
Oleh itu, KDA FC perlu meletakkan cita-cita realistik bagi pasukan untuk sekurang-kurangnya beraksi dalam Liga A1 Semi Pro tanpa risiko berdepan isu sama yang hanya akan mewujudkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Antara impian terbaik boleh diletakkan adalah dengan memberi saingan terhadap pasukan atasan dalam pertandingan berkenaan yang pada akhirnya memberi ruang buat mereka mewujudkan kestabilan.
Selain itu, sekali pun skuad Sang Kenari menjuarai Liga A1 Semi Pro, mereka tidak perlu terburu-buru memohon lesen kebangsaan kerana tempoh dihabiskan dalam pertandingan itu akan membawa manfaat besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram