Imigresen perlu cari 'home' selewatnya Sabtu, masih berminat di Utara tanah air — MFL


  • Podium
  • Isnin, 30 Jun 2025

Imigresen FC belum memutuskan stadium bakal digunakan sebagai 'home venue' pasukan musim depan.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menyatakan pendatang baharu Liga Super bagi kempen akan datang, Imigresen FC masih belum memperoleh gelanggang sendiri bagi saingan musim depan.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan pengelola itu, Shazli Shaik, kelab tersebut perlu membuat keputusan segera, iaitu sebelum Sabtu kerana kelab lain sudah hampir memberi keputusan akan hal tersebut.

"Kita belum mendapat sebarang respons daripada Imigresen FC yang sebelum ini menamakan Stadium Darul Aman, Kedah sebagai 'home' pasukan. Namun, kita dengar bahawa venue itu tidak boleh digunakan.

BACA LAGI: Jangan hanya fikir stadium, perlu ambil kira kemudahan lain sebelum Imigresen FC pilih ‘home ground’

BACA LAGI: 'Pergilah Pulau Pinang', Imigresen FC tak dibenar guna Stadium Darul Aman

"Kita perlu pengesahan selewat-lewatnya sebelum Sabtu atau 5 Julai depan. Kita serahkan keputusan kepada Imigresen FC, tetapi kita sedia maklum mereka akan mencari venue di Utara tanah air," katanya.

Imigresen FC sebelum ini berminat untuk menggunakan Stadium Darul Aman sebagai venue 'home' susulan ketiadaan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang gagal memperoleh lesen.

Laporan terdahulu menyatakan Stadium Darul Aman sebagai home utama Imigresen FC.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya enggan memberi keizinan buat kelab itu.

Ini kerana Kedah FA dan KDA FC masih akan menggunakan stadium tersebut dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26, sekali gus memaksa Imigresen FC mencari alternatif baharu.

Sekiranya mahu terus berada di Utara tanah air, pilihan lain dimiliki adalah Stadium Bandaraya dan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang atau mana-mana venue tersedia di Perak.

"Buat masa ini, hampir semua pasukan sudah memberi kata putus berhubung venue 'home' masing-masing kecuali Imigresen FC. Untuk makluman, pada Rabu depan, MFL akan bergerak ke semua venue.

"Ini bagi memastikan setiap stadium mengikut piawaian ditetapkan dari sudut peraturan pertandingan, komersial, media dan pihak penyiar. Kami juga akan ke Brunei untuk melakukan tugasan sama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram