
KETIKA ini, kebanyakan pasukan Liga Super lebih tertarik untuk mendapatkan pemain dari kelab yang sudah 'terkubur' dari landskap Liga Super sama ada akibat kemelut kewangan atau gagal mendapat lesen kebangsaan.
Kelab-kelab itu merupakan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC dan Perak FC yang masing-masing tidak akan berentap di peringkat tertinggi tanah air sehingga ada memilih 'berhibernasi' demi memulihkan pasukan.
Pendekatan tersebut diambil kerana mereka tidak perlu membuat tawaran terlalu tinggi kerana pemain daripada kelab bermasalah itu sudah tentu tertarik untuk terus beraksi dalam Liga Super.
BACA LAGI: Kelab sudah 'terkubur', YCL-Victor-Fandi Ahmad masih ada destinasi teruskan karier masing-masing
BACA LAGI: Bola sepak Malaysia makin suram jika Perak terkubur
Pengalaman lalu turut mengajar para pemain bahawa isu tunggakan gaji adalah lebih teruk berbanding mendapat gaji sederhana kerana sumber kewangan berterusan amat diperlukan bagi menampung perbelanjaan diri dan keluarga.
Bagaimanapun, timbul pula persoalan mengenai kebolehan pemain dari kelab 'terkubur' itu untuk memberi impak terbaik memandangkan sesetengah penyokong pasti beranggapan perpindahan itu bersifat tangkap muat.
Tetapi, melihat kepada pengalaman lalu, terdapat tiga bintang yang berpindah dari pasukan yang gagal memperolehi lesen ke Liga Super, namun menjadi nama besar di kelab baharu.
1. Kalamullah Al-Hafiz
Sebelum ini, Petaling Jaya (PJ) City FC menjadi satu penanda aras baharu buat kelab tempatan apabila hanya mengerah khidmat pemain lokal pada musim akhir mereka dalam Liga Super, iaitu pada 2022.
Bagaimanapun, kesukaran mendapatkan dana mencukupi menyaksikan skuad The Phoenix gagal beraksi pada kempen berikutnya, sekali gus menyaksikan rata-rata tonggak utama bertindak mencari kelab baharu.
Antara yang terawal berbuat demikian ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz yang segera menyertai KDA FC selaras dengan usaha pemegang saham majoriti, Tan Sri Mohd Daud Bakar menghidupkan legasi kelab terbabit.
Kalamullah (kanan) memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kubu skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Sepanjang lebih dari semusim di Utara tanah air, pemain tersebut menjadi nadi utama dalam barisan pertahanan pasukan dengan 15 clean sheet direkodkan daripada 37 penampilan.
Namun, tempoh di sana berakhir pada pertengahan musim 2024/25 apabila dia memilih untuk menyertai Selangor FC berikutan masalah pengurusan tidak berkesudahan dialami KDA FC.
Perpindahan itu sekali lagi membuahkan hasil apabila Kalamullah memainkan peranan penting buat skuad Gergasi Merah yang menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua musim lalu.
2. Wan Amirul Afiq
Pada musim sama terkuburnya PJ City FC dari peta bola sepak tempatan, sebuah lagi kelab, iaitu Melaka United FC mengalami nasib sama selepas rata-rata pemain mengalami isu tunggakan gaji serius.
Situasi kelab itu adalah amat memilukan apabila mereka terpaksa mengikat perut dan tidak berbelanja secara besar-besaran selepas kebajikan terus diabaikan pihak pengurusan.
Keadaan tersebut mendesak beberapa pemain, termasuk Wan Amirul Afiq untuk segera mencari destinasi baharu dengan dia memilih haluan sama diambil Kalamullah pada jendela perpindahan itu.
Wan Amirul Afiq menjadi nadi utama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Pada awalnya, bek kiri tersebut tidak diramal mampu memberi impak besar buat pasukan kerana sepanjang bersama skuad Hang Tuah, anak jati Kelantan berkenaan tidaklah begitu dikenali.
Tetapi, selepas menampilkan aksi konsisten, Wan Amirul Afiq segera menjadi kesayangan penyokong Hijau Kuning, malah terus kekal setia ketika kelab Utara tanah air itu bergelut di luar padang.
Khidmatnya bersama skuad Sang Kenari bagaimanapun tidak dapat diteruskan memandangkan KDA FC turut terkubur, sekali gus menamatkan tempoh dua perkhidmatannya.
3. Darren Lok
Selain Kalamullah, seorang lagi tonggak utama PJ City FC yang berkelana susulan penutupan kelab itu ialah Darren Lok selepas menikmati satu musim terbaik dalam kariernya.
Ini kerana penyerang Harimau Malaya tersebut muncul penjaring terbanyak dalam Kategori Pemain Tempatan, sekali gus menjadikannya buruan kelab tempatan.
Darren Lok meneruskan rentak cemerlang bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, hati pemain warisan negara itu hanya diletakkan kepada Sabah FC yang ketika itu layak ke Piala AFC 2023 berikutan kejayaan muncul di tangga ketiga Liga Super musim sebelumnya.
Seperti mana diramal penyokong, skuad Sang Badak menerima manfaat penuh daripada kehadiran Darren Lok yang meneruskan aksi cemerlang buat kelab Borneo tanah air terbabit,
Meskipun masih belum membantu pasukan itu menjulang trofi, penyerang berbisa itu berjaya mencetak 18 gol dan lapan bantuan jaringan daripada 53 penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram