'Biarlah gajah tidur sebentar', keputusan Sri Pahang berehat mula direstui


  • Podium
  • Khamis, 26 Jun 2025

Skuad Tok Gajah yang penuh dengan sejarah tersendiri lesap daripada mana-mana saingan domestik musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

HARAPAN diletakkan penyokong Sri Pahang FC untuk terus menyaksikan kelab itu bersaing dalam arena bola sepak tempatan tidak kesampaian selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pasukan tersebut tidak berada dalam kelompok 13 yang bertanding.

Meskipun sudah memperolehi lesen kebangsaan, skuad Tok Gajah mengambil keputusan tersebut berikutan pengunduran pemilik terdahulu, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Malah, dalam kenyataan terbaru yang dikeluarkan, kelab Pantai Timur tersebut terpaksa berbuat demikian dengan harapan langkah diambil mampu memberi peluang pihak pengurusan memberi tumpuan kepada fokus baharu.

BACA LAGI: Inspirasi buat Baqi dan Saiful ikut jejak 3 ikon Pahang-Terengganu

BACA LAGI: Baqiuddin Shamsudin sah sarung jersi TFC, alangkah baiknya sepupu dari Sri Pahang ikut sama

Kenyataan dikeluarkan berhubung pengunduran skuad Tok Gajah dari arena bola sepak tempatan. — Facebook/Sri Pahang FC

"Sri Pahang FC mengambil keputusan menarik diri dari Liga Super 2025/26 kerana memerlukan masa untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi struktur dalaman demi menjamin masa depan lebih cerah.

"Sri Pahang FC berharap akan diberi peluang untuk menyertai pembangunan bola sepak di negeri Pahang di masa akan datang. Sehubungan dengan itu, pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, pihak berkuasa, penajaan dan penyokong," tulisnya.

Kempen skuad Tok Gajah dalam arena bola sepak tanah air musim lalu sedikit mengecewakan apabila hanya berada di tangga ketujuh Liga Super, namun ia diubati dengan kejayaan pasukan itu melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia.

Pencapaian tersebut bagaimanapun tidak mengubati kelukaan peminat terhadap pasukan itu kerana masing-masing enggan mengikuti perkembangan kelab yang mengalami masalah pengurusan cukup rumit.

Tetapi, melihat kepada perasaan dilontarkan ketika ini, rata-rata penyokong seperti terbuka dengan keputusan terbabit sambil menyatakan harapan skuad Tok Gajah dapat kembali bangkit.

Penyokong Sri Pahang FC sebelum ini kecewa atas keputusan kelab untuk mengundur diri.

"Itu lebih baik daripada pemain merayu ibarat pengemis! Semoga terus bangkit untuk musim-musim akan datang," kata Mohd Hatim Bin Jamaludin.

"Biarlah gajah tidur sebentar, mana tahu apabila sedar esok lusa, boleh dia 'mengamuk' ke atas pasukan lain," ujar Samsuddin Mohd Azhan.

"Liga-liga di peringkat daerah harus dipertingkatkan untuk mencungkil bakat-bakat baharu, pemain tempatan perlu diutamakan. Struktur gaji yang lebih berpadanan untuk elak gaji sangkut pada masa depan," kata Mohd Azami Haji Othman.

Nasib dialami Sri Pahang FC turut melanda beberapa kelab lain, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC yang masing-masing merupakan pasukan ternama, namun terkubur akibat masalah dalaman.

Bagaimanapun, MFL sudah bertindak segera untuk memastikan 13 pasukan terus beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air itu dengan memperkenalkan Imigresen FC dan Melaka FC sebagai pencabar baharu sementara Brunei DPMM FC hadir dengan status kelab jemputan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram