Azzmi kecewa, kesalahan individu hukum skuad Jang


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Sebahagian perlawanan antara Negeri Sembilan bertemu PDRM yang menyaksikan skuad Jang tewas 1-2 di gelanggang sendiri. — Facebook/NSFC

KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Ab Aziz mengakui kecewa dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya apabila pasukannya tewas kali ketiga berturut-turut untuk menduduki tangga kedua tercorot Liga Super 2024/2025.

Skuad Jang terus dirundung malang apabila tewas 1-2 di tangan PDRM FC sekali gus menyaksikan pasukan itu kini sekadar merekodkan tiga mata sahaja selepas tujuh perlawanan liga setakat ini.

Nyata, keputusan itu tidak menggembirakan Azzmi dan menyifatkan kesilapan individu menghukum pasukan meskipun mereka beraksi lebih baik pada separuh masa pertama, lapor MFL.

BACA LAGI : [VIDEO] Kelincahan, skil anak kelahiran Sandakan ubati rindu Sang Badak terhadap Saddil

BACA LAGI : Sokong Amirul letak jawatan, ramai lagi yang layak — Hafifi Mansor

NSFC

Pemain PDRM FC (tengah) dikawat ketat oleh pertahanan skuad Jang. — Facebook/NSFC

Tetapi, untuk berada di kedudukan kedua tercorot sudah tentu bukan yang diinginkan selain berharap penambahbaikan drastik dapat dilakukan sebelum berdepan Kedah Darul Aman FC, Sabtu depan.

“Separuh masa pertama kita bermain dengan lebih baik tetapi selepas itu pemain-pemain banyak hilang fokus.

“Jadi bila tak fokus, pasukan lawan akan ambil kesempatan atas kesilapan diri sendiri, banyak lagi yang kena diperbaiki.

“Tetapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, dan kena terima kekurangan yang ada dalam pasukan sekarang. Saya ambil tanggungjawab ini dan berharap kita akan lebih baik untuk perlawanan akan datang," jelasnya.

Apa pun, Azzmi berharap sokongan terus diberikan kepada kelab tersebut pada saat mereka sedang bergelut dengan prestasi sambil mengharapkan keputusan yang lebih positif dapat diraih.

“Saya mengaku kekalahan demi kekalahan bukan mudah dan ini juga satu pengajaran untuk saya.

“Tetapi saya percaya kepada peningkatan yang akan berlaku selepas tewas dan harap pemain dapat kekal fokus untuk aksi lawan Kedah, Sabtu nanti," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram