
SEBUAH lagi aksi persahabatan melibatkan bekas pemain Kelantan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat yang menyaksikan kemeriahan sambutan peminat.
Perlawanan tersebut menyaksikan lambakan bintang yang dahulunya beraksi buat skuad The Red Warriors (TRW), lebih-lebih lagi ketika kelab Pantai Timur tersebut menjulang gelaran treble pada 2012.
Pasukan tersebut dipilih menentang bekas pemain Kedah yang dibarisi nama-nama besar seperti Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhaimeen dengan masing-masing masih ligat ‘menari’ di atas padang.
BACA LAGI: [VIDEO] Cik Man kongsi taktikal 'penalti halus', rahsia kemenangan skuad Ex Treble Kelantan
Ghaddar menjadi bintang terbaru memeriahkan aksi melibatkan bekas pemain Kelantan. — Facebook/Mohd Nassuruddin Haji Daud
Namun, tumpuan utama pasti diberikan terhadap legenda Kelantan, terutamanya buat Muhammad Ghaddar yang hadir demi memeriahkan perlawanan tersebut selepas pernah menabur bakti di Pantai Timur sebanyak tiga kali dalam kariernya.
Ini bukanlah kali pertama bekas import skuad TRW dibawa ke venue keramat itu untuk perlawanan persahabatan kerana sebelum ini, pihak penganjur berjaya menjemput Dickson Nwakaeme ketika pasikan terbabit menentang Ex Selangor.
Bagaimanapun, tahukah anda bahawa terdapat lambakan lagi bekas import Kelantan yang belum berpeluang menyertai aksi sebegitu dengan masing-masing boleh dijemput sekiranya ada lagi penganjuran sedemikian.
1. Obinna Nwaneri
Jika melihat kepada import terpilih ke aksi tersebut, rata-rata yang dipanggil merupakan penyerang kerana setiap gol dijaringkan akan disorak ribuan penyokong di stadium.
Bagaimanapun, tiba masanya pihak penganjur cuba mendapatkan khidmat bek tengah, Obinna Nwaneri yang cukup dikenali kerana kekebalan di pintu gawang sendiri cukup digeruni.
Nwaneri sememangnya legenda skuad TRW selepas membantu kelab itu meraih gelaran treble.
Selain bijak menggunakan kekuatan fizikal, pemain kelahiran Nigeria tersebut amat tangkas dalam mematahkan serangan lawan menggunakan bentesan tepat tanpa mensia-siakan pasukan.
Tempoh dihabiskan sepanjang tiga tahun bersama skuad TRW turut menyaksikan pertahanan kental itu menjulang pelbagai trofi, termasuk gelaran treble pada 2012.
Kelibatnya di Stadium Sultan Muhammad ke-IV sudah tentu dapat mencetuskan kemeriahan, lebih-lebih lagi sekiranya dia dapat beraksi di samping Nwakaeme yang merupakan rakan senegaranya.
2. Keita Mandjou
Nama penyerang kelahiran Guinea, Keita Mandjou lebih sinonim dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana dia pernah membawa pulang Anugerah Kasut Emas ketika di Utara tanah air.
Tetapi, tahukah anda bahawa penyerang tersebut pernah beraksi di Kelantan pada penghujung kariernya dengan kelab tersebut merupakan salah satu kelab terakhir dalam tempoh permainannya.
Dia yang menyertai skuad TRW dari pasukan India, Pune FC dibawa masuk dengan harapan dapat membantu kelab itu dalam saingan Piala AFC, namun tidak dapat berbuat demikian kerana gagal didaftarkan.
Mandjou memilih Kelantan sebagai kelab terakhir dalam kariernya.
Menyedari halangan dihadapi itu, pihak kejurulatihan memilih untuk mengerah khidmat Mandjou dalam saingan domestik dengan lima gol dicetak daripada 11 penampilan.
Khidmatnya boleh disumbangkan bagi aksi persahabatan menampilkan Ex TRW meskipun usianya sudah mencecah 45 tahun kerana kelibatnya sahaja sudah dapat menarik ribuan penyokong ke stadium.
3. Austin Amutu
Pada pertengahan musim 2015, Kelantan pernah memilih untuk mendapatkan khidmat penyerang dari Nigeria, Austin Amutu secara pinjaman dari kelab di negara kelahirannya, Warri Wolves FC.
Keputusan itu diambil kerana skuad TRW tidak memiliki penyerang berbisa dengan Nur Farhan Muhammad semakin berusia sementara import dari Colombia, Erwin Carillo kurang memberangsangkan.
Langkah diambil pengurusan Kelantan untuk mendapatkan khidmat Amutu adalah cukup baik kerana dia tidak perlu masa lama untuk menyesuaikan diri apabila mudah menjaringkan gol dalam aksi debut menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Amutu membantu skuad TRW melangkah ke pentas akhir Piala FA 2015.
Meskipun hanya enam bulan beraksi, pemain tersebut sempat mencetak sembilan gol daripada 19 penampilan selain berjaya membantu kelab itu melangkah ke pentas akhir Piala FA.
Kini, dengan usianya baru mencecah 32 tahun, Amutu masih boleh dipanggil untuk memeriahkan Stadium Sultan Muhammad ke-IV sekiranya diberi kelepasan dari kelab semasanya, Al-Talaba SC di Iraq. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram