
MUSIM baharu Liga A1 menyaksikan penyertaan 16 pasukan pelbagai latar belakang termasuklah pasukan simpanan seperti Selangor FC II dan Johor Darul Ta'zim II serta kelab jemputan, Seoul Phoenix dari Korea Selatan.
Paling mencuri perhatian adalah penyertaan pasukan berstatus negeri seperti Perak FA, Kelantan Red Warrior serta duo Kedah Darul Aman FC (KDA) serta Kedah FA.
Di atas kertas, barisan pasukan Liga A1 musim ini dilihat begitu menarik dan mampu menjadikan saingan tersebut lebih hangat berbanding sebelumnya.
BACA LAGI: Cabaran di J.League sesuai dengan permainan saya — Dion Cools
BACA LAGI: Aguero, tonggak Sabah-Penang antara pemain 'nakal' paling banyak dilayangkan kad kuning
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Hanif Miswan, dia berpendapat saingan Liga A1 musim depan akan membawa satu dimensi baharu yang tidak pernah dijangkau oleh pertandingan tersebut.
Hal ini kerana, sebelum ini Liga A1 hanya disertai oleh kelab-kelab yang belum bersedia untuk memasuki tahap lebih tinggi seperti Liga Super. Sebaliknya, ia turut dimeriahkan dengan pasukan yang pernah beraksi di Liga Super seperti KDA.
"Kehadiran pasukan-pasukan seperti Perak, Kedah dan Kelantan ke Liga A1, saya percaya ia membawa satu dimensi baharu kepada liga. Sebelum ini, hanya kelab-kelab yang tak bersedia untuk ke Liga Super bermain di Liga A1.
"Dengan kehadiran pasukan berstatus negeri ini, mereka bukannya tidak bersedia, mereka sudah beraksi di liga lebih tinggi namun menyedari kosnya tidak mampu untuk ditampung. Untuk mengelakkan masalah serupa seperti tunggakan gaji berulang, mereka memilih untuk beraksi di sini.
"Ia mungkin kelihatan seperti reset buat mereka, tapi demi mengekalkan pasukan, mereka memilih untuk terus bersaing," kata Hanif kepada Majoriti.
Dengan kehadiran pasukan-pasukan tersebut di Liga A1, Hanif berharap ia akan mewujudkan sebuah pertandingan serba kompetitif walaupun tidak segah Liga Super.
Bagi Hanif, isu melibatkan pasukan Liga A1 adalah bagaimana mereka hendak kekal lestari dari segi kewangan. Hal ini kerana, musim lalu terdapat laporan mengatakan ada kelab yang hadir dengan lapan hingga 10 pemain pada hari perlawanan akibat kekurangan dana.
Jika perkara itu dapat diatasi, tidak terkejut jika Liga A1 akan bertambah meriah musim depan.
"Saya rasa tahap kompetitif dalam Liga A1 sepatutnya ada sebab mereka juga masih disertai oleh pasukan yang sudah bermain musim lalu seperti Manjung City dan Malaysian University. Malah ada pasukan dari Korea Selatan juga.
"Cuma ada perkara yang tidak enak didengar pada musim lepas berkaitan kewangan pasukan, saya harap ia tidak akan berlaku lagi. Biarlah liga ini tidak nampak gah, nampak biasa-biasa saja tapi berjaya dihabiskan. Kita mahu liga yang sihat.
"Saya harap ia akan menjadi persaingan yang baik dan bersifat lebih tempatan berbanding Liga Super. Jika ini berlaku, saya tak terkejut kalau Liga A1 lebih meriah daripada Liga Super," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram