Awas Moussa Sidibe! 3 import termasuk bintang JDT bergelut selepas kembali 'rujuk'


  • Podium
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Sidibe diberi peluang membuktikan diri selepas sekali lagi menyertai skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEPERTI kebiasaan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menghadapi sebuah lagi jendela perpindahan sibuk apabila mereka mengumumkan rekrut terbaru yang merupakan keempat bagi tempoh kali ini.

Bagaimanapun, pemain baharu yang diumumkan pada Khamis seperti tidak menerima perhatian hebat penyokong Harimau Selatan kerana mereka hanya membawa masuk import dari Mali, Moussa Sidibe.

Pemain tengah itu cukup sinonim dengan peminat pasukan tersebut kerana dia sebelum ini pernah menyarung jersi jaguh Liga Super itu pada 2022, namun hanya sempat mencatatkan tiga penampilan bersama skuad utama.

BACA LAGI: 

Sidibe lebih kerap beraksi dalam pasukan simpanan ketika kali pertama bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Menyedari kebolehannya tidak sesuai dengan gaya pasukan, Sidibe kemudian diletakkan dalam skuad simpanan sebelum di menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman dan berkelana ke Indonesia untuk menyertai Persis Solo selepas kontraknya bersama JDT tamat.

Namun, pihak pengurusan Harimau Selatan memilih untuk memberinya peluang kedua dengan harapan gaya permainannya sesuai akan taktikal ketua jurulatih baharu, Xisco Munoz.

Tetapi, kepercayaan itu boleh memakan diri kerana dalam sejarah Liga Super, terdapat tiga pemain yang gagal memberi impak dalam tempoh perkhidmatan kedua di kelab lama masing-masing.

1. Fernando Forestieri

Pada jendela perpindahan pertama Liga Super 2024/25, JDT mengejutkan ramai penyokongnya apabila mengumumkan pemain sayap, Fernando Forestieri bakal menamatkan tempoh perkhidmatan di kelab itu.

Keputusan tersebut dibuat kerana pada musim sebelumnya, tonggak dari Argentina tersebut kerap mengalami kecederaan sehingga menyaksikan peluangnya dalam pasukan terhad, lebih-lebih lagi memasuki penghujung kempen.

Isu kecederaan menyaksikan Forestieri bergelut pada tempoh kedua perkhidmatan buat skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, tidak lama selepas pengumuman berkenaan diletakkan di media sosial, JDT secara tiba-tiba mengumumkan pemain tersebut akan kembali ke pangkuan kelab itu.

Namun, harapan peminat untuk menyaksikan keunggulannya diteruskan tidak kesampaian apabila Forestieri terus bergelut dengan isu kecergasan dengan hanya dua penampilan direkodkan.

Pemain berusia 35 tahun terbabit kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun terdapat khabar angin mengatakan dia akan kembali ke kelab liga bawahan England, Watford.

2. Dickson Nwakaeme

Sehingga hari ini, peminat bola sepak Pahang masih mengangkat penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme sebagai antara import terbaik pernah beraksi buat kelab berkenaan.

Ini kerana pemain bertubuh sasa itu menjadi watak penting buat pasukan Pantai Timur terbabit dengan membantu skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA pada 2014.

Impak diberikan Nwakaeme pada kali kedua beraksi buat skuad Tok Gajah tidak seperti mana disaksikan pada awal kehadirannya. Facebook/Pahang FA

Tetapi, selepas dua musim beraksi buat Pahang, penyerang itu kemudian berkelana ke Perancis untuk menyertai Angers SCO dengan peluang ke Eropah cukup sukar untuk ditolak.

Tidak lama selepas itu, Nwakaeme secara tiba-tiba mengumumkan kepulangan ke arena bola sepak tanah air selepas dua tahun yang menyaksikannya kembali bergabung dengan skuad Tok Gajah.

Keputusan itu bagaimanapun kurang memuaskan kerana penyerang tersebut dikatakan bergelut semasa tempoh perkhidmatan keduanya di Pantai Timur dengan penyokong seperti tidak berpuas hati akan sumbangannya.

3. Morgaro Gomis

Kira-kira 10 tahun lalu, Kelantan mencipta kejutan di persada antarabangsa apabila mengumumkan kehadiran pemain tengah dari Senegal, Morgaro Gomis yang sebelum ini beraksi di Scotland.

Perpindahan tersebut menjadi bahan mulut ramai kerana kejayaan mendapatkan import tersebut menerima liputan agensi media sekitar Eropah yang cukup terkejut akan keputusan itu.

Bagaimanapun, perpindahan tersebut tidak membuahkan hasil apabila pemain berkenaan kurang memberi sumbangan di hadapan pintu gol sehingga skuad The Red Warriors (TRW) enggan mendaftarkan namanya dalam pasukan bagi saingan separuh kedua musim.

Gomis terus bergelut untuk memberi impak semasa beraksi buat skuad Kijang Emas. Facebook/KDN FC

Tindakan itu sememangnya kecewa untuk ditelan Gomis yang kemudian memilih untuk berkelana ke Timur Tengah sebelum kembali ke Scotland dan beraksi di sana beberapa tahun lagi.

Namun, pemain terbabit sekali lagi memilih untuk mencuba nasib dalam Liga Super apabila Kelantan Darul Naim (KDN) FC menawarkan kontrak baginya dua musim lalu, yang memberi peluang baginya membuktikan diri.

Harapan tersebut bagaimanapun tidak tercapai kerana pada tempoh keduanya di Pantai Timur, Gomis sekali lagi bergelut untuk memberi impak dengan tiada gol dicetak dalam 13 penampilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram