Rindu buah manggis-jambu batu, Dickson Nwakaeme berkira-kira mahu berhijrah semula ke Malaysia 


  • Podium
  • Rabu, 18 Jun 2025

Nwakaeme (tengah) antara penyerang yang digemari oleh penyokong Kelantan FC. — Agensi

STADIUM Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan bakal bergema semula dengan sorakan peminat apabila sebuah perlawanan amal istimewa mempertemukan pasukan pilihan bekas pemain negeri itu menentang barisan legenda Selangor dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.

Inisiatif itu mendapat sambutan hangat daripada penyokong tempatan yang merindui detik kegemilangan bola sepak Kelantan, khususnya era kemuncak The Red Warriors (TRW) lebih sedekad yang lalu.

Antara wajah ikonik kembali menyarung jersi TRW termasuklah kapten lagenda, Badhri Radzi; penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat serta barisan pertahanan dan pemain tengah seperti Daudsu Jamaludin yang menjadi tunjang kejayaan treble Kelantan suatu ketika dahulu.

BACA LAGI: Pahang belum puas belanja sakan, dengar-dengar adik Dickson Nwakaeme rekrut seterusnya

BACA LAGI: Selangor cuba pujuk Dickson Nwakaeme, ‘hijack’ perpindahan adik ke Sri Pahang

Bukan itu sahaja, bekas penyerang berbisa Terengganu, Francis Forkey Doe juga akan beraksi. Selain itu, nama-nama besar seperti Razman Roslan, Azidan Sarudin dan Azamuddin Akil yang pernah mencipta nama di persada bola sepak tempatan juga turut serta. 

Kejutan turut hadir apabila pemain import sensasi Liga Super, Dickson Nwakaeme sah bakal turun padang untuk menghiburkan penyokong setia Kelantan dengan kemunculan yang pastinya dinanti-nantikan selepas sekian lama meninggalkan Malaysia.

Menjelang perlawanan aksi persahabatan itu, Nwakaeme mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan apabila memuat naik gambar buah-buahan tempatan seperti manggis dan jambu batu di Insta Story miliknya baru-baru ini.

Lebih menarik, hantaran itu turut disertakan dengan kapsyen ringkas namun penuh makna, iaitu "saya rindu makanan, buah-buahan dan semuanya (di Malaysia). Mungkin saya patut berhijrah semula." 

Tangkap layar Insta Story Nwakaeme.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong TRW yang menyambut baik bayangan kepulangan semula Nwakaeme ke Malaysia, negara yang menyimpan banyak kenangan manis dalam karier bola sepaknya.

Nwakaeme menyertai kancah Liga Malaysia (Liga M) pada 2013 dengan menyertai skuad Kelantan dan terus menjadi antara penyerang yang digemari di Kota Bharu.

Bersama Kelantan, pemain itu berjaya membantu skuad Kijang Emas menjuarai Piala FA pada musim 2013 dan antara aksi terbaiknya ialah ketika membawa Kelantan ke final Piala FA 2013.

Nwakaeme (kanan) ketika bermain untuk Pahang. 

Sepanjang Nwakaeme beraksi di Liga M, penyerang bertubuh sasa itu diberi gelaran orang besi kerana faktor fizikal dan kekuatan yang dimilikinya.

Manakala, ketika bersama Tok Gajah, Nwakaeme mencipta legasi dengan membantu Sri Pahang muncul antara pasukan yang terbaik dalam bola sepak tempatan dengan membantu menjulang Piala Malaysia dan Piala FA. 

Meskipun belum ada pengesahan rasmi mengenai masa depannya, isyarat yang diberikan Nwakaeme menerusi media sosial jelas menunjukkan dia masih menyimpan rasa cinta terhadap Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram