Debaran memuncak, Liga A1 dilimpahi 3 coach otai Liga Super termasuk Victor Andrag


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Dari kiri: Victor Andrag, Irfan Bakti dan Abdi Hassan akan mencurahkan pengalaman masing-masing dalam Liga A1 Semi Pro musim depan.

LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) mengesahkan sebanyak 16 pasukan akan mengambil tempat dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan yang merupakan peningkatan kecil berbanding edisi lalu.

Ini menyaksikan beberapa pasukan baharu tampil menyertai, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dihalang daripada bersaing dalam Liga Super 2025/26 selepas gagal menepati kriteria kewangan.

Selain itu, tiga kelab iaitu Imigresen FC, Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mengambil keputusan menghantar pasukan simpanan masing-masing yang pastinya membawa nilai tambah.

BACA LAGI: Penyertaan Kedah-Perak-Kelantan bawa dimensi baharu Liga A1, jangan terkejut jika lebih meriah berbanding Liga Super

BACA LAGI: Tiga lagi pasukan termasuk KDA, wakil Perlis sertai Liga A1, jadikan 16 kelab bertanding

Sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam Liga A1 Semi Pro musim depan berbanding 15 pada edisi lalu. Facebook/AFL

Kehadiran kelab-kelab tersebut bakal menyaksikan pemain berpengalaman luas berentap dalam Liga A1 Semi Pro berbanding edisi-edisi lalu yang menyaksikan hanya bintang berusia akan menyertai liga berstatus amatur itu.

Bagaimanapun, ramai seperti tidak menyedari penyertaan pasukan ternama itu akan turut menyaksikan jurulatih yang sudah bertahun-tahun menceburi dunia bola sepak tempatan menonjolkan bakat.

Melihat kepada 16 kelab bersaing musim depan, terdapat tiga nama besar yang pernah meraih pengalaman dalam Liga Super dengan segala ilmu dikumpul bakal dicurah dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26.

1. Irfan Bakti Abu Salim

Usaha menghidupkan bola sepak Kelantan sedang sibuk direncanakan apabila bekas pemegang taruh dalam skuad The Red Warriors (TRW) bertindak menubuhkan Kelantan Red Warriors (KRW) FC.

Harapan besar diletakkan di bahu kelab tersebut selepas mereka memasang cita-cita hebat dengan melantik Irfan Bakti Abu Salim yang merupakan nama cukup disegani dalam arena bola sepak tempatan.

Nama Irfan Bakti tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak tanah air. Facebook/KRW FC

Ini kerana pengendali berusia itu pernah membimbing pelbagai kelab ternama, seperti Terengganu dan Selangor yang menyaksikannya menjulang pelbagai trofi dan pencapaian yang terus mekar diingati.

Setiap pengalaman dikumpulkan dalam saingan Liga Super diharapkan mampu menjadikan KRW FC pasukan dihormati dalam usaha menghidupkan semula suasana di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Bagaimanapun, dalam usaha menjadikan pasukan Pantai Timur itu digeruni, pihak pengurusan perlu melaburkan sejumlah wang untuk membawa pemain berkualiti, termasuk import.

2. Victor Andrag

Sepanjang karier kejurulatihannya, Victor Andrag tidak pernah bergelar jurulatih tetap apabila dia hanya bergelar pengendali interim sebanyak dua kali, iaitu susulan pengunduran Aidil Sharin Sahak dan Nafuzi Zain.

Bagaimanapun, dalam kedua-dua tempoh tersebut, bekas kapten Kedah itu berjaya menerapkan falsafahnya dalam pasukan meskipun sukar meraih keputusan seperti mana diharapkan penyokong.

Victor Andrag diumumkan sebagai pengendali skuad Lang Merah bagi saingan akan datang. Facebook/Kedah FA

Malah, semasa bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC musim lalu, Victor memikul peranan tambahan apabila perlu menyuntik motivasi buat anak-anak buahnya yang dirundung isu tunggakan kewangan

Kebolehan ditonjolkannya itu diharapkan mampu diteruskan apabila jurulatih berusia 49 tahun itu diberi kepercayaan penuh untuk mengendalikan Kedah FA dalam Liga A1 Semi Pro musim depan.

Tekanan bakal diberikan pihak pengurusan pasukan juga tidaklah begitu berat buat Victor kerana skuad Lang Merah hanya akan menurunkan pemain muda dengan penyertaan kelab itu adalah bagi pembangunan bakat muda di Kedah.

3. Abdi Hassan

Sebelum kehadiran Katsuhito Kinoshi, pihak pengurusan Selangor FC terlebih dahulu memberi kepercayaan buat Abdi Hassan susulan keputusan menggugurkan Nidzam Jamil musim lalu.

Sepanjang kira-kira tiga minggu memikul peranan itu, jurulatih tersebut sempat menikmati pengalaman membimbing pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two, namun tewas kepada Jeonbuk Hyundai Motors.

Abdi Hassan pernah bergelar pengendali sementara buat skuad Gergasi Merah. LinkedIn/Abdi Hassan

Jadi, dengan kehadiran Kinoshi sebagai pengganti, Abdi Hassan kembali memikul peranan dalam skuad simpanan Gergasi Merah yang menamatkan kempen Piala MFL 2024/25 di tangga kedua.

Meskipun tiada sebarang perkembangan mengenai nasibnya dalam pasukan, ramai menjangkakan pengendali kelahiran Belanda itu akan dikekalkan memandangkan pihak pengurusan Selangor FC mempercayai kebolehannya.

Malah, dengan kelonggaran diberikan AFL untuk menggunakan khidmat import, tidak mustahil Abdi akan diberikan beberapa tonggak pasukan demi mengubati kekecewaan musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram