
MENANG tujuh piala sepanjang kerjaya kejurulatihannya, bekas ‘orang besi’ Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris, tetap tidak terhindar daripada berasakan dirinya ada kala diperlakukan seperti bola – ditendang ke sana sini.
Menyayatkan jika disorot sejarah berwarna-warninya dalam bola sepak tempatan, terutama apabila dua kali kejayaan mengehadkan pembabitannya selaku ketua jurulatih hanya kerana apa yang boleh ditakrifkan sebagai “tidak cukup kelayakan”.
Terbaru, Mat Zan, 67, terpaksa merelakan Imigresen FC hasil air tangannya beraksi dalam Liga Super bermula Ogos ini tanpa kepakaran asuhan mahupun
isyaratnya dari tepi padang.
BACA LAGI: Lepas Azam Azih, Imigresen FC buru 5 lagi bintang Harimau Malaya termasuk Syafiq Ahmad
BACA LAGI: Irfan Bakti ajak peminat meriahkan Liga A1 Semi-Pro sebagai ganti
Mat Zan berjaya membawa Imigresen FC di kedudukan kedua Liga A1 Semi Pro musim lalu. — Facebook/Imigresen FC
“Khidmat saya selaku ketua jurulatih sudah berakhir apabila Imigresen FC muncul naib juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu untuk meneruskan perjalanan dalam Liga Super yang menjadi satu catatan sejarah buat pasukan.
“Saya tidak salahkan pihak pengurusan kerana kelayakan saya sekadar memiliki lesen A (sedangkan ketua jurulatih pasukan Liga Super disyaratkan memiliki lesen pro,” kongsinya dengan Bola Pegun.
Kecewa tidak sekali-kali tetapi rasa ralat tetap tersimpan di benak hatinya kerana ia mengulangi episod duka hampir serupa yang pernah dilaluinya pada penghujung musim Liga Perdana musim 2016.
Membimbing Melaka United untuk menjuarai Liga Perdana pada musim itu, pengurusan pasukan memutuskan tidak melanjutkan khidmatnya kerana saingan Liga Super dirasakan memerlukan kepakaran seorang jurulatih asing untuk mencaturkan perancangan pasukan.
Ramai penyokong Melaka United yang menyanjung Mat Zan – dia turut mengemudi pasukan itu menjuarai Liga FAM musim 2015 hanya semusim selepas mengambil alih pasukan yang terumbang-ambing pada 2014 – berasakan dia tidak diperlakukan dengan adil dan jasanya seperti tidak dihargai.
Mat Zan (atas) pernah mengalami nasib sama selepas membantu Melaka United.
"Mungkin mereka (pengurusan) mahu jurulatih asing dan pemain-pemain yang lebih baik. Saya tidak pasti perancangan sebenar mereka.
"Pihak pengurusan akan bertemu dengan barisan kejurulatihan dan semua pemain esok (24 Okt 2016) tetapi saya tidak menyertai perjumpaan itu. Saya tidak rasa mereka layan saya secara adil," ujar Mat Zan ketika itu seperti dilaporkan mStar.
Sambil menafikan Melaka United memperkecilkan kemampuan Mat Zan sebagai seorang jurulatih tempatan – ketika itu syarat asas lesen pro belum diperkenalkan -- pengurus pasukan, Datuk Seri Yusoff Mahadi berkata, perubahan perlu dilakukan atas dasar untuk memantapkan skuad Hang Tuah bagi menghadapi badai Liga Super 2017.
“Dia (Mat Zan) dah buat yang terbaik untuk Melaka, kita ucapkan terima kasih. Melaka United merupakan pendatang baru dalam Liga Super, saya rasa kami perlu berani melakukan perubahan,” katanya sambil membayangkan tiga calon jurulatih dari Brazil, Australia dan England mendapat pertimbangan.
Melaka United kemudian melantik jurulatih dari England, Eric Williams, yang bagaimanapun hanya mampu mengemudi skuad Hang Tuah itu ke tangga kelapan dalam musim sulung mereka dalam Liga Super. Sebilangan netizen pada waktu itu menganggapnya sebagai "sumpahan Mat Zan".
Eric Williams tampil sebagai pengganti Mat Zan dalam skuad Hang Tuah. — Agensi
Mat Zan harus bukan berseorangan dalam kalangan “jurulatih berjaya” yang tidak memiliki lesen pro atas sebab tersendiri – antaranya faktor usia sudah lewat dan terutamanya kos RM65,000 yang perlu dibayar sendiri untuk kursus kejurulatihan seumpamanya di bawah naungan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Tanpa lesen pro sekali pun, Mat Zan mampu memenangi sehingga tujuh piala dalam saingan domestik di samping percaya rezekinya tetap ada.
Selain mengemudi Melaka United menang Piala FAM 2015 dan juara Liga Perdana 2016, jurulatih itu lebih dahulu membimbing Kuala Lumpur memenangi Piala FA 1999 dan Piala Sumbangsih 2000, Piala Sumbangsih 2001 bersama Terengganu dan terbaru, Liga M3 2023 bersama Imigresen FC.
Di Terengganu, Mat Zan – pemain tengah lasak Kuala Lumpur selama 13 musim dari 1980-1992 -- dianggap “jurulatih legenda” apabila mengemudi skuad Penyu itu muncul juara Piala Malaysia buat julung-julung kalinya dengan mengatasi Perak 2-1 dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Nov 2001 hasil gol Wan Rohaimi Wan Ismail (kini ketua jurulatih Penang FC) dan Sapian Wahid.
Dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2024/2025, Imigresen FC kendaliannya dikerah berpuas hati selaku naib juara kepada Melaka yang dibimbing K. Devan dengan perbezaan lapan mata dalam saingan 15 pasukan itu.
Skuad Hang Tuah diangkat sebagai juara Liga A1 Semi Pro selepas satu musim yang cukup sukses.
Ditanya tidakkah Imigresen FC mahu mengekalkan dirinya sekurang-kurangnya selaku penolong ketua jurulatih, Mat Zan memilih untuk berhusnuzon dengan percaya kelab itu mungkin mempunyai perancangan berbeza. Lazimnya jurulatih asing yang diberi tanggungjawab mahu membawa bersama pasukan kejurulatihannya sendiri.
“Mungkin team dah ada perancangan sendiri dan saya perlu terima, tak ada rasa ralat apa-apa. Kalau dah saya tak ada lesen pro, apa yang boleh saya nak kata lagi kerana saya tiada kelayakan.
“Kita ni (jurulatih) macam bola juga, boleh ditendang ke sana sini. Apa yang penting ialah team yang saya bawa dapat menang sesuatu. Itu dah cukup beri kepuasan kepada saya.
“Nak ambil lesen pro pun, rasanya umur dah lanjut. Lagipun tak mampu rasanya untuk saya cari RM65,000 jika khidmat saya cuma untuk setahun dua lagi,” katanya.
Mat Zan pada masa yang sama tidak boleh mengharapkan tawaran pasukan-pasukan dalam Liga A1 Semi-Pro yang lain kerana ketua jurulatihnya juga kini disyaratkan memiliki lesen pro, sama seperti Liga Super.
“Peluang saya yang tinggal ialah pasukan-pasukan dalam Liga A2 (liga divisyen tiga menggantikan Piala FAM) dan Liga A3 (liga divisyen empat di bawah Amateur Football League (AFL).
“Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki kat sana. Saya ni jenis tak boleh duduk diam dan masih ada ilmu yang dapat saya kongsikan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram