Perlu pangkalan kukuh, Lembah Klang lokasi lebih strategik buat Imigresen FC berbanding Pulau Pinang — Zulakbal


  • Podium
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Imigresen FC disarankan mempertimbangkan sama ada Stadium Bandaraya di George Town atau Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai gelanggang rasmi menjelang musim baru Liga Malaysia. — Facebook/ImigresenFC

HASRAT Imigresen FC yang dijangka menjadikan Pulau Pinang sebagai markas baharu bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan menimbulkan persoalan tentang sejauh mana keberkesanan langkah itu dalam membina sokongan akar umbi.

Difahamkan, pasukan itu pada awalnya dilaporkan bercadang untuk menjadikan Stadium Darul Aman (SDA) di Alor Setar sebagai venue utama.

Namun, cadangan itu tidak mendapat kelulusan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

BACA LAGI: 'Stadium Bandaraya home base Penang FC', peluang Imigresen tipis tapi tidak tertutup sepenuhnya berkampung di Utara

BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT

Sebagai alternatif, Sanusi dilaporkan mencadangkan agar Imigresen FC mempertimbangkan venue lain yang lebih sesuai, termasuk Stadium Bandaraya di George Town atau Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.

Cadangan itu membuka laluan kepada Pulau Pinang sebagai pilihan utama Imigresen FC dalam usaha mereka menubuhkan pangkalan penyokong baharu di kawasan Utara tanah air.

Stadium Bandaraya merupakan 'home base' Penang FC yang sudah berdaftar secara rasmi dengan MFL. — Facebook/PerbadananStadiumPulauPinang

Namun, penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa keputusan tersebut bukanlah strategi yang ideal.

"Pada pendapat saya, Imigresen FC telah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan Stadium Darul Aman sebagai venue utama mereka, namun gagal kerana tidak dibenarkan oleh Menteri Besar Kedah.

"Sehubungan itu, mereka kini dilaporkan mungkin menukarnya ke Pulau Pinang dalam usaha membina fan base," katanya kepada Majoriti.

Begitupun, jelas Zulakbal, Pulau Pinang sudah memiliki penyokong tegar yang setia kepada pasukan negeri, Penang FC. Hal tersebut menjadikan tugas membina penyokong baharu untuk Imigresen FC di kawasan itu jauh lebih mencabar.

Sebaliknya, Lembah Klang dilihat sebagai lokasi yang lebih sesuai, memandangkan kawasannya yang padat, pelbagai latar belakang peminat bola sepak serta akses logistik yang lebih mudah.

Ia bukan sahaja berpotensi menarik lebih ramai penyokong, malah boleh membina jenama kelab dengan lebih cepat.

Imigresen muncul juara Liga M3 musim lepas dengan mengutip 55 mata dan serta 53 jaringan dihasilkan. — Facebook/Imigresenfc

"Saya fikir, adalah lebih wajar, sekiranya Imigresen FC berpangkalan di Lembah Klang berbanding di Pulau Pinang, kerana di Utara memiliki populasi penyokong yang lebih kecil berbanding Lembah Klang yang lebih besar dan mempunyai pelbagai ragam latar belakang peminat," ujarnya.

Zulakbal turut mengulas bahawa meskipun Pulau Pinang mempunyai potensi untuk menarik kehadiran penonton, sokongan yang diberikan mungkin tidak akan berbentuk jangka panjang atau bersifat kesetiaan mendalam.

"Ada kemungkinan, sebahagian kecil penonton akan datang menyaksikan tetapi mungkin sebagai hiburan bukan menjadi penyokong tegar kerana populasi yang ada sudahlah kecil, tetapi pula adalah penyokong tradisi dan tegar Pulau Pinang," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram