
SETAKAT ini, kesemua pendatang baharu Liga Super 2025/26 iaitu Melaka FC, Imigresen FC dan Brunei DPMM FC masih sibuk melakukan persiapan untuk berentap dalam arena bola sepak musim depan.
Pasukan paling bersungguh-sungguh melakukan rombakan sudah tentu DPMM FC yang sudah membawa masuk beberapa nama baharu, seperti Sergio Aguero dan Fairuz Zakaria.
Ini menunjukkan skuad kendalian Jamie McAllister itu cukup bersemangat untuk memberi saingan selepas bertahun-tahun bersaing dalam Liga Singapura yang juga tidak kurang hebatnya.
BACA LAGI: Setia berbakti bersama Sri Pahang, Azam Azih khabarnya tunggu masa ke Darul Aman
BACA LAGI: Seorang lagi bintang tinggalkan Pahang, 'Abang Misai' tunggu masa ke Thailand
Imigresen FC masih perlu diperkuatkan dalam pelbagai posisi menjelang musim baharu.
Menyedari usaha hebat itu, Imigresen FC yang muncul naib juara Liga A1 Semi Pro 2024/25 tidak mahu mengalah apabila turut dikaitkan dengan beberapa nama besar.
Sebelum ini, pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris itu dikaitkan dengan tonggak Sri Pahang FC, Nor Azam Azih selepas pasukan Pantai Timur itu dilaporkan tidak akan bersaing meskipun memperolehi lesen kebangsaan.
Usaha tersebut seperti tidak akan terhenti di situ kerana baru-baru ini, kelab tersebut turut dikatakan bakal membawa masuk lebih ramai pemain berpengalaman.
"Rundingan selesai, kertas kerja masih menunggu. Syafiq Ahmad, Azam Azih, Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq, Fayadh Zulkifli dan Fazly Mazlan ke Imigresen FC," tulis pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
Cita-cita besar ditunjukkan kelab berkenaan sudah tentu memeriahkan lagi arena Liga Super musim depan meskipun rata-rata pemain yang mahu dibawa masuk itu kian berusia selain berdepan isu prestasi.
Fazly Mazlan yang kini beraksi buat skuad Gergasi Merah juga berada dalam radar Imigresen FC. — Facebook/Selangor FC
Namun, pengalaman mereka bersama skuad kebangsaan, terutamanya Syafiq yang pernah diangkat sebagai penyerang utama negara sudah pasti akan membawa tarikan buat penyokong.
Usaha membawa masuk kesemua pemain itu dijangka tidak akan menelan perbelanjaan besar kerana semua daripadanya berstatus ejen bebas selepas pasukan masing-masing gagal memperolehi lesen kebangsaan.
Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq dan Nor Azam yang beraksi buat Sri Pahang FC pasti akan mencari kelab baharu sementara Fayadh dan Syafiq akan berkelana kerana enggan beraksi dalam liga bawahan.
Sementara itu, Fazly yang merupakan bek kiri Selangor FC dijangka ditunjukkan jalan keluar dalam masa terdekat memandangkan skuad Gergasi Merah akan melakukan rombakan besar-besaran.
Setakat ini, Imigresen FC belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan perancangan pasukan memasuki musim baharu meskipun terdapat ura-ura menyatakan mereka akan beraksi di Stadium Darul Aman, Kedah.
Keputusan itu diambil selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak akan berentap dalam Liga Super 2025/26, namun keputusan akhir belum diberikan memandangkan skuad Sang Kenari dan Kedah FA difahamkan bakal menyertai Liga A1 Semi Pro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram