'Midfield' import jadi rebutan skuad Jang-Kuching City andai tempoh di Lembah Klang tamat


  • Podium
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Jika benar kontraknya tidak disambung, ia bakal membuka peluang buat pasukan lain mendapatkan pemain tengah Ghana berusia 23 tahun itu secara percuma. — Instagram/agyakwagh

MASA depan pemain tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa terus menjadi persoalan apabila dua kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC, dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya menjelang musim 2025/2026.

Pemain kelahiran Ghana itu kini berada dalam radar kedua-dua kelab selepas kontraknya bersama Gergasi Merah dilaporkan sudah tamat pada 31 Mei 2025, menurut Transfermarkt.

Spekulasi mula bertebaran di media sosial, terutamanya menerusi satu hantaran di akaun Instagram palatao_bola, yang membayangkan kemungkinan besar Alex tidak akan disambung kontrak oleh Selangor FC.

BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT

BACA LAGI: 'Stadium Bandaraya home base Penang FC', peluang Imigresen tipis tapi tidak tertutup sepenuhnya berkampung di Utara

Kontrak Alex bersama pasukan Lembah Klang itu tamat pada 31 Mei 2025. Instagram/palatao_bola

Jika benar, perkara itu membuka peluang kepada pasukan lain untuk mendapatkan pemain tengah berusia 25 tahun itu secara percuma.

Setakat ini, Selangor FC masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status Alex, sekali gus terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Negeri Sembilan FC dilihat paling bersedia untuk menyambar Agyarkwa, terutamanya selepas melantik bekas jurulatih Selangor, Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih baharu.

Skuad Jang juga telah memperkuatkan pasukan dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani dan Khuzaimi Piee.

Sementara itu, Kuching City FC yang kini dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak juga tidak mahu ketinggalan dalam persaingan merebut pemain tengah itu.

The Cats telah menunjukkan kesungguhan dalam memperkuatkan skuad apabila membawa masuk penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy (secara pinjaman), serta Ramadhan Saifullah dan bekas penjaga gol Perak, Haziq Nadzli.

Kehadiran Alex, sama ada ke skuad Jang atau The Cats, dijangka mampu menghidupkan dan memperkukuh bahagian tengah pasukan menerusi pengalaman serta kualiti yang dimilikinya.

Dengan minat yang kian meningkat terhadap Alex, kini segala-galanya bergantung kepada Selangor FC sama ada mahu mengekalkan tonggak tengah itu atau melepaskannya untuk menyertai kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram