
PEMILIHAN gelanggang rasmi Imigresen FC menjelang kempen Liga Malaysia musim 2025/2026 tidak seharusnya hanya tertumpu kepada soal stadium semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai aspek lain seperti logistik, kemudahan penginapan dan sokongan penyokong.
Menurut pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, terdapat beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh Imigresen FC, antaranya Stadium Felda di Jengka dan Stadium Perak di Ipoh.
“Pada pandangan saya, Imigresen FC mempunyai beberapa pilihan. Stadium Felda dan Stadium Perak boleh menjadi pertimbangan, memandangkan tiada pasukan dari Felda atau Sri Pahang yang kini bersaing dalam Liga Malaysia.
“Namun, Stadium Perak mungkin sedikit sukar kerana pasukan Perak masih bermain di Liga A1,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Keadaan tip-top bertaraf dunia, cuma 3 stadium tanah air sepi 'tak berpenghuni'
Pekan berkata, Stadium Darul Makmur mungkin sukar digunakan kerana kos sewanya yang tinggi berikutan padang yang baharu dinaik taraf. — Agensi
Tambah beliau, Stadium Felda di Jengka yang menggunakan padang rumput sintetik dan kedudukan geografinya turut menimbulkan cabaran dari segi kemudahan logistik dan penginapan.
“Faktor hotel dan akses ke lokasi juga perlu diberi perhatian. Di Jengka, kemudahan hotel untuk pasukan sendiri dan pelawat agak terhad. Jika di Ipoh, perkara itu lebih mudah diurus.
“Namun, di mana sahaja Imigresen FC bermain, mereka masih belum memiliki kelebihan sebagai pasukan tuan rumah kerana tidak mempunyai sokongan akar umbi yang jelas,” ujar beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemilihan stadium tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan pembentukan identiti kelab dan keupayaan menarik penyokong.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli. — Agensi
“Jika tiada perancangan menyeluruh, stadium mereka hanya akan dipenuhi oleh rakan-rakan, keluarga dan saudara-mara pemain serta pegawai.
“Stadium Darul Makmur pula mungkin sukar digunakan kerana kos sewanya yang tinggi berikutan padang yang baharu dinaik taraf,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata faktor penjimatan kos perjalanan juga wajar menjadi pertimbangan utama, kecuali Imigresen FC memutuskan untuk menjadikan Kuantan sebagai pangkalan operasi tetap mereka.
“Memiliki gelanggang rasmi yang tetap sangat penting, bukan sahaja untuk kelebihan teknikal, tetapi juga sebagai asas membina komuniti penyokong yang setia,” tambah beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram