Bekas bek Kedah cadangkan kelab Kelantan tagih khidmat bekas pemain, anggar kutipan tiket tak kurang RM700,000 sebulan


  • Podium
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Belasan ribu penyokong hadir membanjiri Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Jumaat.

SEPERTI dijangkakan, pertembungan antara Ex TRW Treble dan Double Treble Kedah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan berjaya mencuri perhatian ribuan peminat bola sepak di Pantai Timur.

Perlawanan yang berlangsung pada Jumaat itu menyaksikan bekas bintang kedua-dua pasukan seperti Baddrol Bakhtiar, Badhri Radzi dan Muhammad Ghaddar yang hadir atas pujukan pihak penganjur.

Peluang menyaksikan kesemua legenda terbabit di atas padang sememangnya sukar untuk dilepaskan apabila puluhan ribu penyokong hadir memeriahkan aksi persahabatan berkenaan.

BACA LAGI: Tidak jauh beza pemain lokal-warisan, hanya cara pemikiran jadi kelainan — Azmeer Yusof

BACA LAGI: Dedah pengalaman buruk dibuli pemain senior, Zaquan Adha ajak Azmeer Yusof bersemuka

Perlawanan tersebut dimeriahkan dengan kehadiran bekas pemain kedua-dua pasukan.

Lebih mengejutkan lagi, ada yang sanggup berada di perkarangan padang tanpa tempat duduk selesa hanya untuk membuktikan kecintaan terhadap kedua-dua pasukan, terutamanya buat Ex TRW Treble yang merupakan tuan rumah.

Menyedari kemeriahan yang sudah lama tidak disaksikan di gelanggang keramat itu, terdetik perasaan dalam kalangan pengikut bola sepak tanah air akan keupayaan pasukan semasa mengulangi senario sedemikian.

Bagi bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof, suasana tersebut boleh diulangi sekiranya kelab berpangkalan di Kelantan ketika ini menggunakan khidmat pemain legenda yang dapat menjadi daya tarikan.

"Bayangkan, seseorang yang pegang Kelantan adakan persetujuan dengan bekas-bekas pemain untuk main dalam Liga A1 Semi Pro A1. Tiada gaji, tapi hanya elaun perlawanan. Tiada latihan, cuma datang pada hari perlawanan.

"Tiada sasaran melangit dari pengurusan, cuma sasarkan menang setiap kali perlawanan dan jangan main-main dengan mentaliti bekas pemain. Mereka tahu apa yang patut dilakukan untuk mendapatkan kemenangan demi pasukan dan penyokong," katanya.

Meskipun kudrat pemain berusia tidaklah setara dengan bintang muda pada hari ini, kematangan dari segi pemikiran membolehkan mereka memberi saingan, lebih-lebih lagi dalam saingan peringkat amatur.

Peluang menyertai kelab lama juga sukar ditolak kerana kehadiran mereka akan dinanti-nantikan penyokong yang masih mengangkat serta merindui bintang kesayangan masing-masing itu.

Rentetan daripada kemeriahan disaksikan kemudiannya akan menjana pendapatan lebih lumayan dengan Azmeer beranggapan kutipan dari penjualan tiket mampu mewujudkan pasukan lebih stabil.

Stadium Sultan Muhammad ke-IV tidak menjanjikan kemeriahan setiap kali pasukan dari negeri itu beraksi.

"Jika tiket tempat duduk terbuka dijual pada RM10 dan astaka adalah pada RM20, kutipan sebulan akan mencecah RM250,000. Jika ada empat perlawanan sebulan, kutipan kasar akan menepati RM1 juta. Itu kasar, bukan pendapatan bersih.

"Andai ditolak RM300,000 untuk segala kos pasukan, kutipan bersih bulanan akan menjadi sebanyak RM700,000. Cukup tak banyak ni pendapatan bersih pasukan Kelantan?" soal Azmeer.

Sekiranya dilihat kepada sumber kewangan kelab tempatan ketika ini, hasil jualan tiket tidak dapat menjanjikan kestabilan kerana orang ramai tidak lagi berminat untuk hadir menonton.

Bagaimanapun, melihat kepada anggaran kasar dibuat Azmeer, pendekatan sebegitu boleh memberikan ruang bernafas buat pasukan, tetapi perlu memastikan kehadiran peminat kukuh pada setiap hari perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram