PERJUANGAN Perak FC dalam memburu satu lagi gelaran Piala Malaysia bermula dengan bertemu kelab Pantai Timur, Kelantan Darul Naim FC pada Jumaat.
Perlawanan tersebut diadakan dengan situasi janggal kerana KDN yang menjadi tuan rumah perlu bermain di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Hal ini disebabkan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di Kelantan masih lagi menjalani proses naik taraf.
BACA LAGI: Perbicaraan tuntutan gaji LTK-Perak FC bersambung Selasa, pertukaran mahkamah tak beri kesan
Namun begitu, ia tidak menghalang Perak sebagai pasukan pelawat untuk turun dengan misi mencatatkan kemenangan bagi membawa bekalan selesa ke Manjung.
Di saat penyokong Perak berasa teruja dengan prospek memburu piala, mereka tersentak apabila skuad Yusri Che Lah hadir ke Kelana Jaya tanpa kelibat beberapa nama penting.
Dalam siaran yang dikeluarkan oleh Perak di media sosial mereka, para penyokong ditimpa resah apabila kelibat ketua pasukan Luciano Guaycochea tidak kelihatan.
Malah, bukan Guaycochea saja, penyokong Perak turut tidak dapat mengesan Luka Milunovic yang turut tidak kelihatan.
"Luka dengan Lucho tak ada ke malam ni? Moh kita kuningkan Stadium MBPJ," kata penyokong bernama Izhar Ridzuan.
"Kapten mana?," soal Afendi Osman dengan ringkas.
Dilaporkan, Guaycochea mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan pada perlawanan berdepan KDN. Dalam masa yang sama, Milunovic turut berdepan situasi sama.
Ia jelas mengganggu persiapan Perak, namun sudah pasti Yusri mempunyai ramuan diperlukan untuk menewaskan KDN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram