Seluruh Sabah berduka, 3 sebab pemergian Tae-su lebih dirindui berbanding Saddil-Telmo


  • Podium
  • Selasa, 17 Jun 2025

Nama Tae-su (dua kiri) cukup sinonim dengan Sabah FC kerana dia merupakan import yang paling lama berkhidmat bersama Negeri di Bawah Bayu itu. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC baru-baru ini memperkenalkan beberapa pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu Liga Malaysia.

Di bawah kendalian Martin Stano, tiga rekrut import diumumkan iaitu pemain tengah Australia, Dean Pelekanos, bek kanan New Zealand, Dane Ingham dan penyerang Bosnia-Herzegovina, Ajdin Mujagic.

Perkhabaran itu pastinya menggembirakan penyokong yang menantikan suntikan baharu dalam skuad Sang Badak.

BACA LAGI: 'Dulu disayang kini dibenci', 3 bintang termasuk Ibrahim Manusi dan ex Sang Kenari sertai musuh tradisi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Perpisahan terjadi jua', Safuwan Baharudin-Amri Yahyah antara 4 legenda 'angkat kaki' tanpa kerelaan fans Gergasi Merah

Saddil Ramdani tinggalkan Sabah FC dan kini menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung. Facebook/Sabahfc

Namun, seperti adat dalam bola sepak, hadirnya pemain baharu juga bermaksud perpisahan tidak dapat dielakkan kerana Sabah FC turut mengucapkan selamat tinggal kepada 13 pemain antaranya Saddil Ramdani, Park Tae-su dan Telmo Castanheira.

Daripada ketiga-tiga pemain tersebut, ramai menjangkakan pemergian Saddil akan memberi impak besar kepada pasukan memandangkan sumbangannya yang konsisten dari segi jaringan dan bantuan gol, selain menjadi nadi serangan pasukan.

Namun, situasi itu sebaliknya kerana kehilangan yang paling menyentuh hati penyokong adalah perginya benteng utama, Park Tae-su.

Nama Tae-su cukup sinonim dengan Sabah FC kerana dia merupakan import yang paling lama berkhidmat bersama Negeri di Bawah Bayu itu.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab utama mengapa pemergian tonggak Korea Selatan itu begitu dirasai oleh penyokong The Rhinos:

1. Gaya kepimpinan

Lebih dikenali dalam kalangan peminat sebagai 'Pak Karim', Tae-su bukan sekadar pemain import biasa. Beliau merupakan pemain asing paling lama berkhidmat bersama Sabah FC dan menjadi figura penting dalam membentuk identiti serta semangat pasukan sejak beberapa musim lalu.

Bek tengah dari Korea Selatan tersebut bukan sahaja dikenali kerana kebolehannya di atas padang, tetapi juga kerana nilai kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang kariernya bersama Sang Badak.

Pada musim 2023, Tae-su diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan Sabah FC, menggantikan Baddrol Bakhtiar. Walaupun baru memegang lilitan kapten, beliau menunjukkan kemampuan memimpin dengan cemerlang.

Tae-su (tengah) membantu pemain import baharu seperti Ko Kwang-min (kiri) memahami taktikal pasukan dan budaya Malaysia. Facebook/Sabahfc

Selain itu, Tae-su turut memainkan peranan penting dalam membantu pemain import baharu seperti Ko Kwang-min, memahami taktikal pasukan dan budaya Malaysia yang juga menggalas tugas sebagai penterjemah serta mentor, memastikan integrasi yang lancar dalam pasukan.

Sebagai seorang pemain yang berpengalaman, Tae-su berjaya menanamkan semangat juang dalam kalangan rakan sepasukan. Beliau sering memberi motivasi dan sokongan moral, memastikan pasukan sentiasa fokus dan bersemangat dalam setiap perlawanan.

2. Kebolehan beraksi dalam pelbagai posisi

Sejak menyertai Sabah FC pada 2019, pemain pertahanan tersebut menjadi antara pembelian berbaloi skuad Sabah dan Tae-su menjadi pemain kesayangan para penyokong.

Kehadirannya di benteng pertahanan sangat berkesan dengan ketangkasannya dan dia juga bijak mencuri peluang untuk menjaringkan gol dan kini sudah menjaringkan 20 gol dari 106 penampilan sepanjang kariernya bersama Sabah.

Di atas padang, Tae-su bukan sahaja berfungsi sebagai benteng pertahanan yang kukuh, tetapi juga sering terlibat dalam serangan. Beliau pernah menjaringkan beberapa gol penting, termasuk gol dari jarak jauh yang menakjubkan dalam perlawanan Piala Malaysia menentang PJ City FC pada 2021 dan gol tersebut mendapat perhatian antarabangsa, termasuk dari FIFA.

Bukan sahaja mampu beraksi di bahagian pertahanan tapi Tae-su juga tajam di depan pintu gawang. Facebook/MFL

Sejak 2019, dia membantu Sabah muncul juara Liga Premier dan layak ke Liga Super sebelum mempamerkan aksi lebih mantap di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu yang menyaksikan Sabah menamatkan musim 2022 ini di tempat ketiga liga.

Bukan itu sahaja, 'Ketua Kampung Likas' itu juga merupakan nadi utama pasukan dalam memastikan Sabah kekal menghuni tangga ketiga Liga Super dari musim 2023 sehingga 2025.

3. Hubungan baik dengan penyokong

Tae-su juga membina hubungan erat dengan penyokong setia pasukan, The Rhinos sepanjang kariernya bersama Sang Badak.

Sebagai ketua pasukan, dia sering tampil ke hadapan untuk menenangkan keadaan apabila pasukan mengalami kekalahan, seperti yang berlaku selepas tewas kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2024. 

Dalam perlawanan tersebut, Tae-su secara tidak sengaja menanduk bola ke gawang sendiri, menyumbang kepada kekalahan 1-2 Sabah FC dan penyingkiran mereka dengan agregat 2-3.

Menyedari kekecewaan penyokong, dia tampil memohon maaf secara terbuka melalui Instagram, menyatakan rasa kesalnya dan berjanji untuk memperbaiki prestasi di masa hadapan.

Tindakan rendah diri bek berketinggian 1.85 meter itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak yang menyifatkan permohonan maafnya sebagai contoh teladan dalam menangani kecaman daripada penyokong.

Walaupun insiden tersebut mengecewakan, ia tidak mengurangkan penghargaan terhadap sumbangannya sepanjang bersama Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram