JDT-Persib bukan yang pertama, 3 kelab Liga Super termasuk Perak pernah jalin kerjasama dengan kelab Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 28 Mei 2025

Persib Bandung dan JDT dilaporkan bakal mewujudkan persefahaman rasmi pada masa terdekat.

REPUTASI kian mencanak sejak tiga tahun kebelakangan ini menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah mewujudkan kerjasama dengan kelab-kelab ternama, termasuk Paris Saint-Germain (PSG).

Hubungan sebegitu akan memberi manfaat besar kerana juara Liga Super itu berpeluang menghantar pemainnya berlatih di Eropah sementara gergasi bola sepak Perancis tersebut mampu meluaskan pengaruh ke rantau Asia Tenggara.

Usaha JDT itu tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemilik kelab menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama serantau bersama kelab Indonesia, Persib Bandung.

BACA LAGI: Andai sah kolaborasi JDT-Persib, 3 pemain bakal bertukar status termasuk pemenang Kasut Emas

BACA LAGI: TMJ ucap tahniah kemenangan Persib, juara Liga 1 beri hint bakal kolaborasi bersama JDT

JDT mewujudkan persefahaman strategik dengan PSG beberapa bulan lalu. X/HRH Crown Prince of Johor

Keinginan tersebut dinyatakan menerusi hantaran di akaun X peribadinya selepas mengucapkan salam tahniah buat skuad kendalian Bojan Hodak yang menjuarai Liga 1 Indonesia sambil sempat mengungkap keterbukaan pihak JDT mengadakan kolaborasi.

Ini membuktikan skuad Harimau Selatan berpandangan jauh dalam meninggalkan pengaruh di negara berkenaan yang kemudiannya hanya akan meningkatkan daya saing bola sepak sekitar Asia Tenggara.

Bagaimanapun, sekiranya kerjasama itu terjalin, JDT bukanlah yang pertama berbuat demikian kerana sebelum ini, terdapat tiga kelab Liga Super pernah mengadakan hubungan diplomatik.

1. Perak FC

Sebelum Perak FC 'terkubur' akibat masalah kewangan, mereka pernah mempunyai cita-cita besar apabila mewujudkan kerjasama dengan kelab-kelab luar negara seperti gergasi bola sepak Jerman, VfL Wolfsburg.

Namun, kelab Utara tanah air itu tidak melupakan kepentingan jalinan serantau kerana pada Oktober 2023, mereka mengumumkan persefahaman dengan Borneo FC Samarinda dari Indonesia.

Kerjasama kedua-dua pasukan tersebut dicetuskan bagi membantu dari segi pembangunan pemain muda dan perkongsian kepakaran kerana skuad The Bos Gaurus (TBG) ketika itu baru menerima nafas baharu di bawah pemilikan XOX Pro Sport Sdn Bhd.

Hubungan rasmi antara Perak FC dan Borneo FC sepatutnya membawa impak cukup besar. Facebook/Perak FC

Malah, ketika jalinan itu dirasmikan, terdapat cita-cita untuk melakukan pertukaran pemain dari segi pinjaman atau perpindahan untuk memberi manfaat bersama yang sememangnya dinantikan penyokong Perak FC.

Bagaimanapun, selepas dua tahun kerjasama tersebut diwujudkan, tiada sebarang impak disaksikan selain satu perlawanan persahabatan pada November 2023 dengan hal tersebut pernah dibangkitkan.

Ketiadaan skuad TBG dalam Liga Super 2025/26 musim depan turut menimbulkan persoalan mengenai masa depan kerjasama kedua-dua pihak dengan ramai beranggapan tiada lagi hubungan antara kedua-dua kelab itu.

2. Kuala Lumpur City

Sebulan sebelum Perak FC dan Borneo FC menjalinkan kerjasama itu, Kuala Lumpur (KL) City FC terlebih dahulu berbuat demikian apabila memilih gergasi bola sepak Indonesia, Persija Jakarta sebagai rakan strategik baharu.

Pemilik kelab Lembah Klang tersebut ketika itu, Azri Azeri menyatakan persefahaman kedua-dua pasukan itu adalah bertujuan memajukan pembangunan bakat muda selain mengeratkan hubungan budaya antara kedua-dua ibu negara berkenaan.

Hubungan stratregik antara KL City FC dan Persija Jakarta tidak membawa sebarang impak. X/Persija Jakarta

Kedua-dua kelab komited untuk meningkatkan hubungan ini melalui acara dan aktiviti berkaitan bola sepak, mempromosikan muhibah dan persefahaman antara bandar masing-masing dan memupuk persahabatan di kalangan peminat, pemain dan pegawai.

Tidak cukup dengan itu, memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani itu menyatakan kemungkinan sebuah aksi persahabatan bakal diadakan di KL, namun ia masih belum berlangsung sehingga hari ini.

Kerjasama itu bagaimanapun seperti sudah terkubur kerana tiada sebarang perbezaan disaksikan sejak kerjasama itu ditubuhkan, lebih-lebih lagi selepas Azri tidak lagi menjadi pemegang saham kelab.

3. Kedah Darul Aman FC

Meskipun berada dalam kemelut kewangan musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC masih sempat mewujudkan kerjasama tidak rasmi dengan kelab Indonesia, Malut United FC sebelum aksi persahabatan.

Berdasarkan rekod lalu, pertembungan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah itu diadakan pada Ogos dalam kejohanan dinamakan Nusantara Challenge (NC 2024) dengan ribuan penyokong Hijau Kuning hadir ke gelanggang perlawanan.

Kerjasama skuad Sang Kenari dan Malut United terbentuk berikutan sebuah aksi persahabatan. Facebook/KDA FC

Walaupun ia bukanlah satu kerjasama kukuh, perlawanan persahabatan itu merupakan usaha memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan kesukanan di antara kedua-dua negara yang berada dalam rantau Asia Tenggara.

Idea dikongsikan menerusi kenyataan itu sudah cukup untuk menyatakan KDA FC dan Malut United mempunyai hubungan tersendiri, lebih-lebih lagi selepas kapten skuad Sang Kenari, Sony Norde berhijrah ke Indonesia tidak lama selepas itu.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan persefahaman itu berterusan pasti tidak kesampaian selepas kelab Utara tanah air itu turut 'terkubur' berikutan masalah dalaman dialami sepanjang musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram