Wan Rohaimi bangga peningkatan anak buah, mahu curi 3 mata di Temerloh


  • Podium
  • Selasa, 15 Apr 2025

Skuad Harimau Kumbang menundukkan KL City FC hasil jaringan tunggal Alif Ikmalrizal (dua dari kiri). — Facebook/Penang FC

KEMENANGAN penting direkodkan Penang FC ketika menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Alif Ikmalrizal menggamatkan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Aksi dipenuhi pelbagai momen hangat itu turut menceritakan kesungguhan skuad Harimau Kumbang yang masih bercita-cita besar untuk berada di kedudukan lebih baik selepas satu musim sedikit hambar.

Bagaimanapun, dalam pertembungan tersebut, kesemua pemain memberi aksi terbaik dalam aksi terakhir di laman sendiri dengan keazaman ditonjolkan menerima pujian pengendali pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail.

BACA LAGI: Wan Rohaimi jinakkan 'ex-boss' bayangi 3 kontroversi panas di Stadium Bandaraya

BACA LAGI: Sumber dedah Penang pernah lamar Cheng Hoe sebelum kehadiran Wan Rohaimi

Wan Rohaimi berbangga dengan peningkatan dipamerkan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC

Jelasnya, dia berbangga menyaksikan persembahan bertenaga daripada anak-anak buahnya dengan mengatakan setiap titik peluh dicurahkan mula membuahkan hasil sehingga mereka berjaya mencatatkan dua keputusan positif berturut-turut, termasuk kejayaan menundukkan Negeri Sembilan FC sebelum ini.

"Bukan mudah untuk kita menundukkan pasukan yang berpengalaman ini. Kita berjuang sehabis baik dan walaupun berada dalam kelompok bawahan liga, kita sudah meraih dua kemenangan.

"Saya tahu penyokong kurang senang dengan keputusan terdahulu daripada Penang FC. Jadi, saya mahu dedikasikan kejayaan ini kepada mereka," kata pengendali berusia 48 tahun itu.

Sebelum kehadiran Wan Rohaimi pada pertengahan November lalu, skuad Harimau Kumbang tidak pernah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2024/25.

Skuad Tok Gajah berada dalam prestasi baik dengan tiga kemenangan berturut-turut. — Facebook/Sri Pahang FC

Ini membuktikan perubahan dibawa jurulatih itu mula membuahkan hasil dengan terdapat kemungkinan khidmatnya akan terus dikekalkan, lebih-lebih lagi jika mereka dapat menundukkan Sri Pahang FC dalam aksi penutup.

"Kita ada beberapa hari untuk mempersiapkan diri dan kami mahu memberikan segala-galanya. Dari hari pertama saya tiba, saya sudah nampak peningkatan dari segi gaya permainan Penang FC.

"Bola sepak adalah satu sukan yang sukar diramal. Kadang-kadang kita menang dan ada masa kita tewas. Tetapi, dalam beberapa perlawanan lalu, kita berjaya mencatatkan keputusan positif dengan ini amat memuaskan," katanya.

Pertembungan dengan skuad Tok Gajah tidak boleh dipandang mudah oleh Wan Rohaimi serta pasukannya memandangkan kelab Pantai Timur berkenaan turut berada dalam prestasi cemerlang selepas tiga kemenangan berturut-turut direkodkan.

Namun, Penang FC yang hadir dengan keazaman tersendiri pasti yakin untuk membawa tiga mata penuh yang boleh meletakkan mereka ke tangga keenam Liga Super sekiranya pasukan lain dalam kelompok pertengahan tewas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram