[VIDEO] Onana pulang ke tempat asal, pamer bakat lebih baik dari jaga gawang Man United


  • Podium
  • Khamis, 26 Jun 2025

Masa depan Onana bersama Man United masih belum terjamin. — Agensi

MASA depan penjaga gol kontroversi, Andre Onana bersama Manchester United nampaknya masih samar disebabkan kelabnya giat mencari pemain berbakat lain di posisi tersebut.

Antara nama yang menjadi sebutan sebagai pengganti Onana termasuk penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez dan bintang simpanan Real Madrid, Andriy Lunin.

Walaupun usaha mendapatkan pengganti masih belum menemukan titik noktah tetapi ia ibarat petanda kepada Onana bahawa pengurusnya, Ruben Amorim sudah nekad mencari penjaga gol baharu.

BACA LAGI: 'Mainlah sepenuh hati’, legenda Sabah sokong kepulangan anak jati ke Negeri Di Bawah Bayu

BACA LAGI: Legenda Sang Badak pertikai kualiti import, ramal Sabah sukar kekal Top 3 Liga Super

Prestasi kurang konsisten selain sering melakukan kesilapan mudah ketika aksi getir menjadi punca Onana sering mendapat kritikan daripada peminat dan tidak hairan jika Amorim sedia melepaskannya.

Malah dilaporkan, bintang Cameroon itu menarik minat kelab Perancis, AS Monaco yang sedia untuk bersaing di Ligue 1 pada musim depan.

Namun di sebalik masa depan yang masih kelam, Onana memilih untuk menenangkan diri dan kembali ke kampung halamannya di Cameroon baru-baru ini.

Tersebar satu video menunjukkan pemain berusia 29 tahun itu bermain bersama rakannya di sebuah padang tanah merah yang dikatakan tempat dia menemukan bakat sebagai pemain bola.

Menariknya dalam video itu, Onana tidak beraksi sebagai penjaga gol tetapi mempamerkan bakat di bahagian tengah dengan skil yang dilihat memukau penonton.

 

Melihat aksi tersebut, netizen terutamanya penyokong Manchester United bergurau bahawa Amorim perlu menukar posisi Onana ke bahagian serangan berdasarkan bakat dalam video itu.

Malah ada juga yang bergurau kasar dengan menyatakan bahawa Onana perlu kekal terus bermain di kampungnya dan tidak perlu pulang ke Old Trafford.

Di sebalik cemuhan itu, pastinya Onana mempunyai perancangan dan cara tersendiri untuk menangai tekanan sebagai persediaan menghadapi musim baharu.

Tiada ruang untuk mulakan perlahan apabila musim dibuka dengan aksi menentang Arsenal di Old Trafford pada 17 Ogos. Sambungan bulan Ogos pula menyaksikan The Red Devils bertandang ke markas Fulham dan menerima kunjungan Burnley.

Selepas berehat pada September, United bakal menempuh derbi Manchester pertama musim ini menentang Manchester City, satu perlawanan penting bagi membalas kekecewaan musim lalu.

September dilihat bulan mencabar dengan perlawanan di Etihad diikuti aksi menentang Chelsea di Old Trafford, sebelum lawatan ke Brentford. Sekiranya perpindahan Bryan Mbeumo berjaya, ini akan menjadi kunjungan istimewa bagi penyerang Cameroon itu ke kelab lamanya.

Bulan Oktober pula menyaksikan pertemuan pertama dengan Sunderland sejak 2017, diikuti perlawanan di Anfield menentang Liverpool, dan aksi menentang Brighton & Hove Albion di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram