Bidaan 'world class' ditolak, Man United terpaksa simpan Onana lebih lama


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Onana yang hadir dengan nilai perpindahan besar terus bergelut untuk mencari konsistensi. — Agensi

SELAIN memperkuatkan barisan hadapan, Manchester United turut bercita-cita besar melakukan perubahan terhadap barisan pertahanan dengan cuba mencari pengganti Andre Onana.

Penjaga gol tersebut kerap melakukan kesilapan sepanjang dua musim bersama skuad The Red Devils sehingga membuatkan ramai mempersoalkan nilai £47.2 juta (RM270.8 juta) yang dibelanjakan untuk mendapatkan khidmatnya.

Pelaburan besar itu sememangnya mengecewakan kerana pemain kebangsaan Cameroon tersebut gagal mengisi kekosongan ditinggalkan David de Gea sebagai barisan pertahanan terakhir pasukan.

BACA LAGI: Hajat Amorim bawa masuk pengganti Onana tak direstui Man United

BACA LAGI: Onana-Altay ditunjuk pintu keluar, penjaga gol Serie A jadi pilihan Man United

Lunin berada dalam radar Manchester United bagi kempen akan datang. — Agensi

Jadi, dalam melakukan penggantian itu, Manchester United dilaporkan berminat membawa masuk penjaga gawang simpanan Real Madrid, Andriy Lunin yang sukar mendapat tempat.

Sejak menyertai kelab gergasi Sepanyol tersebut, bintang antarabangsa Ukraine berkenaan kurang diberi minit permainan dengan hanya 14 penampilan direkodkan dalam semua pertandingan musim lalu.

Bagaimanapun, setiap kali diberi kepercayaan, Lunin tidak pernah mengecewakan dengan kebolehan sedemikian membuatkan Manchester United tertarik untuk menandatanganinya.

Tetapi, berdasarkan laporan terbaru, bidaan awal dibuat finalis Liga Europa UEFA (UEL) itu ditolak kerana ia belum menepati nilai minimum ditetapkan Real Madrid.

Cunha merupakan satu-satunya rekrut skuad The Red Devils dalam jendela perpindahan kali ini. — Agensi

Juara 15 kali Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu meletakkan nilai antara €20 juta ke €25 juta (RM98.4 juta ke RM123 juta) buat mana-mana pasukan yang menginginkan khidmat Lunin.

Permintaan itu boleh dikatakan amat berbaloi buat skuad The Red Devils, lebih-lebih lagi potensi dimiliki penjaga gol Real Madrid itu akan memberi ruang penambahbaikan berbanding Onana.

Setakat ini, Manchester United baru membawa masuk seorang pemain baharu, Matheus Cunha yang dibawa masuk dari Wolverhampton Wanderers selepas satu musim yang menakjubkan.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan musim panas masih panjang, tidak mustahil skuad kendalian Ruben Amorim itu akan memperkenalkan lebih ramai rekrut baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram