
KEKALAHAN mengejutkan Manchester United ketika bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada Rabu sememangnya mengecewakan puluhan ribu penyokong yang hadir dari serantau Asia Tenggara.
Pemain yang jelas menjadi tumpuan terhadap kekecewaan itu ialah pemain sayap, Amad Diallo yang dimasukkan pada babak kedua, namun gagal memberi impak seperti mana diharapkan.
Selain hantaran dilakukan tidak membuahkan hasil, larian dilakukan pemain Ivory Coast itu kerap berakhir dengan keputusan ofsaid yang akhirnya membawa kerugian buat skuad The Red Devils.
BACA LAGI: Petanda Man United akan karam makin jelas di sebalik baju pemanas badan Amad Diallo
BACA LAGI: Lepas 7 bulan Ten Hag pergi, penyerang sayap Man United akhirnya kongsi pengalaman pahit
Skuad The Red Devils kecewa akan kekalahan dialami itu.
Bagi Pyae Sone, persembahan ditampilkan pemain itu adalah amat menyedihkan sehingga menimbulkan perasaan bahawa pengendali The Red Devils, Ruben Amorim wajar melepaskannya pada musim panas ini.
"Pertama sekali, saya boleh katakan ini merupakan satu pengalaman mengasyikkan kerana saya pertama kali menonton Manchester United secara langsung. Jadi, ia akan menjadi satu momen berharga buat saya.
"Saya tidak berasa sedih untuk melihat Manchester United tewas kerana saya juga berasal dari Myanmar, jadi saya perlu sokong Asean All Stars. Pada saya, pemain paling mengecewakan adalah Amad dan (Patrick) Dorgu," katanya kepada Majoriti.
Perasaan sama dikongsikan Muhammad Afiq dari Perak yang mengatakan pemain berusia 22 tahun itu amat mengecewakan, namun faktor kepenatan mungkin menjadi punca.
Asean All Stars sudah tentu berbangga kerana dapat menewaskan Manchester United.
"Saya boleh katakan pasukan Asean All Stars main dengan baik dengan menyekat pasukan lawan dan melancarkan serangan pantas. Selalunya, untuk lawan Manchester United, itulah gaya yang terbaik.
"Pada saya, Amad sedikit mengecewakan kerana mungkin agak kepenatan. Kita nampak dia gembira meluangkan masa semalam (Selasa) dan kelemahan pasukan mungkin memandang rendah pihak lawan," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Ruben Amorim menurunkan skuad terbaik dengan nama-nama besar seperti Andre Onana dan Harry Maguire beraksi pada awal permainan sementara Bruno Fernandes dan Amad dimasukkan pada babak kedua.
Satu-satunya gol dalam aksi tersebut dijaringkan Mg Mg Lwin menjaringkan gol pada minit ke-71 yang menyaksikan skuad The Red Devils berputih mata untuk menjuarai kejohanan persahabatan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram