
MANCHESTER United bakal menghadapi ujian getir sebaik musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 bermula, susulan prestasi kurang memberangsangkan musim lalu.
Jadual penuh perlawanan musim baru akhirnya diumumkan pada Rabu, semestinya amat dinanti-nantikan peminat bola sepak di seluruh dunia.
Selepas menamatkan musim lalu di tangga ke-15, kedudukan terendah mereka dalam era Liga Perdana dan yang terburuk sejak 1973–74, Amorim kini berusaha mencari permulaan segar bersama skuad The Red Devils.
BACA LAGI: 'Mainlah sepenuh hati’, legenda Sabah sokong kepulangan anak jati ke Negeri Di Bawah Bayu
BACA LAGI: Legenda Sang Badak pertikai kualiti import, ramal Sabah sukar kekal Top 3 Liga Super
Jurulatih Portugal itu berdepan cabaran besar kerana dilantik pada November lalu tanpa peluang membina sistem taktikal yang kukuh akibat jadual padat dan melelahkan. Namun, musim ini beliau mendapat pramusim penuh untuk merancang dan memperkemas strategi.
United turut beraksi proaktif di jendela perpindahan dengan membawa masuk Matheus Cunha dan masih memburu beberapa pemain untuk memperkuatkan pasukan.
Tiada ruang untuk mulakan perlahan apabila musim dibuka dengan aksi menentang Arsenal di Old Trafford pada 17 Ogos. Sambungan bulan Ogos pula menyaksikan The Red Devils bertandang ke markas Fulham dan menerima kunjungan Burnley.
Selepas berehat pada September, United bakal menempuh derbi Manchester pertama musim ini menentang Manchester City, satu perlawanan penting bagi membalas kekecewaan musim lalu.
September dilihat bulan mencabar dengan perlawanan di Etihad diikuti aksi menentang Chelsea di Old Trafford, sebelum lawatan ke Brentford. Sekiranya perpindahan Bryan Mbeumo berjaya, ini akan menjadi kunjungan istimewa bagi penyerang Cameroon itu ke kelab lamanya.
Bulan Oktober pula menyaksikan pertemuan pertama dengan Sunderland sejak 2017, diikuti perlawanan di Anfield menentang Liverpool, dan aksi menentang Brighton & Hove Albion di laman sendiri.
Brighton memenangi enam daripada lapan pertemuan terakhir dengan United dalam semua kejohanan, termasuk pertemuan liga musim lalu.
Separuh pertama November pula memperlihatkan dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan menentang Nottingham Forest dan Tottenham Hotspur.
Secara keseluruhan, 11 perlawanan pembukaan musim 2025/26 United mencakupi semua empat pasukan teratas musim lalu, satu permulaan yang penuh cabaran buat skuad kendalian Amorim. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram