'Mainlah sepenuh hati’, legenda Sabah sokong kepulangan anak jati ke Negeri Di Bawah Bayu


  • Podium
  • Rabu, 18 Jun 2025

Maxius Musa kembali menyarung jersi Sabah FC untuk memperkukuh barisan sayap pasukan. — Facebook/Sabahfc

"MAINLAH untuk negeri sepenuh hati". Begitulah pesanan ikhlas daripada legenda bola sepak tanah air, Matlan Marjan susulan kembalinya anak jati Sabah, Maxius Musa ke skuad Sang Badak.

Sabah FC baru-baru ini membuat keputusan strategik dengan membawa masuk dua pemain tempatan untuk memperkukuhkan pasukan, iaitu pemain sayap kanan Maxius Musa dan bekas pemain pertahanan PDRM FC, Badrul Affendy.

Nama Maxius Musa pastinya tidak asing dalam kancah bola sepak tanah air kerana pernah menyarung jersi Sang Badak sebelum ini.

BACA LAGI: Seluruh Sabah berduka, 3 sebab pemergian Tae-su lebih dirindui berbanding Saddil-Telmo

BACA LAGI: Legenda Sang Badak pertikai kualiti import, ramal Sabah sukar kekal Top 3 Liga Super

Maxius Musa kini kembali menyarung jersi Sang Badak. Facebook/Sabahfc

Pemain berusia 32 tahun itu pernah berjuang bersama The Rhinos bermula musim 2019 hingga 2023.

Kini, penyokong Sang Badak berpeluang sekali lagi menyaksikan anak jati kelahiran Keningau itu beraksi di atas padang di bawah kendalian Martin Stano.

Mengulas lanjut mengenai kepulangan Maxius ke pangkuan Sabah FC, Matlan tidak menolak perkara tersebut malah bersetuju dengan keputusan tersebut.

Beliau turut menitipkan pesanan agar setiap pemain tempatan yang diberi peluang beraksi untuk bermain sepenuh hati demi lencana di dada.

“Saya rasa pemain baharu harus diberi peluang kerana mereka akan dapat menyumbang dengan negeri sepenuh hati mereka.

"Saya yakin mereka akan dapat bersaing dengan pemain-pemain dari luar,” katanya kepada Majoriti.

Kehadiran Maxius Musa di posisi sayap pastinya mampu membantu mempertajamkan jentera serangan Sabah musim depan. Facebook/Sabahfc

Mengulas lanjut mengenai kepulangan Maxius ke pangkuan Sabah FC, Matlan mempunyai pandangan tersendiri mengenai pemain sayap berketinggian 1.64 meter itu.

Menurutnya, tiada masalah bagi pemain yang sudah lanjut usia untuk bermain, namun sekiranya dia masih kental di atas padang, tiada salahnya untuk memberi peluang.

“Selagi dia masih main bagus, kira baguslah untuk pasukan tapi sebaik-baiknya bagi peluang dekat pemain yang lebih muda,” ujarnya.

Dengan kepulangan Maxius dan kemasukan Badrul Affendy, Sabah FC diharapkan dapat memperkukuhkan lagi pasukan dan terus bersaing di puncak Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram