
SABAH FC berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas Liga Super musim 2025/2026 selepas empat musim berturut-turut berada di kedudukan tersebut.
Legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan menyuarakan kebimbangan mengenai kesukaran pasukan untuk mengekalkan prestasi cemerlang mereka.
Menurut Matlan, kehadiran pemain baharu dalam skuad kendalian Martin Stano mungkin menyukarkan proses penyesuaian dan keserasian antara pemain lama dan baharu.
BACA LAGI: Seluruh Sabah berduka, 3 sebab pemergian Tae-su lebih dirindui berbanding Saddil-Telmo
Matlan merupakan salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki skuad Sang Badak. — Agensi
“Pada pandangan peribadi saya, saya rasa sukar untuk Sabah kekal dalam tangga tiga teratas musim depan kerana kebanyakannya pemain baharu,” katanya kepada Majoriti.
Matlan juga menyatakan keraguan terhadap kemampuan pemain import baharu seperti Dean Pelekanos, Dane Ingham dan Ajdin Mujagic dalam memberi impak positif kepada pasukan.
Beliau yang juga merupakan bekas penyerang skuad kebangsaan itu mengingatkan bahawa Sabah FC sebelum ini pernah merekrut pemain import yang kurang berkesan.
"Selalunya import yang pasukan kita dapat adalah pemain yang kurang berkualiti.
"Oleh itu, saya tidak pasti import baharu ini akan dapat memberi sumbangan yang terbaik untuk pasukan,” ujarnya.
Pemain pertahanan kelahiran Australia, Dane Ingham antara rekrut baharu Sabah FC. — Facebook/Sabahfc
Walaupun begitu, Matlan tetap berharap agar Sabah FC dapat memperbaiki prestasi mereka dan memberi cabaran kepada pasukan lain musim depan.
Beliau percaya bahawa pengendali pasukan, Martin Stano memiliki strategi yang sesuai untuk membentuk pasukan yang mantap.
“Terpulang kepada jurulatih macam mana sistem yang dia guna tapi saya percaya semuanya berpandu kepada kekuatan pemain sekarang,” tambah Matlan.
Terdahulu, pasukan yang berpangkalan di Borneo itu mengumumkan tiga pemain import iaitu penyerang dari Bosnia Herzegovina, Ajdin Mujagic, pemain tengah kelahiran Australia, Dean Pelekanos dan pemain pertahanan kelahiran Australia, Dane Ingham.
Sementara itu, Sabah turut mengumumkan dua pemain tempatan iaitu Badrul Affendy dan Maxsius Musa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram