
DUA anakanda kepada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim iaitu Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim akan mewakili Malaysia dalam perlumbaan 24 Jam Spa-Francorchamps di Belgium.
Diadakan pada Sabtu dan Ahad ini, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar akan bersama-sama dua lagi pelumba iaitu Alexander Sims dan Jordan Love beraksi secara bergilir-gilir mewakili Johor Motorsports Racing (JMR).
JMR akan menggunakan Chevrolet Corvette Z06 GT3.R untuk mengatasi cabaran 75 pasukan lain.
BACA LAGI: Angkara lantang, Safuwan alami nasib 'dibeku' seperti bekas tonggak TFC, bintang JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Onana pulang ke tempat asal, pamer bakat lebih baik dari jaga gawang Man United
Menurut Tunku Abdul Rahman, walaupun dalam perlumbaan ketahanan (endurance) boleh menghasilkan apa-apa saja drama, namun baginda tetap mensasarkan kemenangan.
"Sebagai sebuah pasukan, perjalanan kita masih jauh dan kita mahu jadi antara yang terbaik. Kita bersyukur dengan perkembangan positif setakat ini, namun ini hanya permulaan.
"Ada banyak lagi pasukan dan kereta yang hebat. Apa-apa boleh terjadi dalam perlumbaan endurance, jadi keutamaan kami adalah untuk berlumba sehingga ke penamat, sebelum kita mensasarkan kemenangan," ujar baginda.
Bagi Tunku Abu Bakar pula, penyertaan mereka di kejohanan tersebut adalah sebagai salah satu jalan untuk mengembangkan lagi industri sukan permotoran di Malaysia.
Dengan penyertaan ini, dia berharap agar pasukan-pasukan serupa akan mensasarkan untuk ke kejohanan antarabangsa juga.
"Ini merupakan tahun pertama kita bergerak sebagai sebuah pasukan sendiri. Ada beberapa ahli pasukan kami dari Malaysia dan tumpuan kita adalah untuk menggalakkan bakat dari Malaysia untuk bersama kita di peringkat antarabangsa.
"Kita bukan sahaja mensasarkan kejayaan, sebahagian daripada hasrat kita adalah untuk membawa rakyat Malaysia bersama kita untuk mencapai matlamat kejayaan itu," kata baginda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram