
SELANGOR FC mengumumkan ketibaan pemain tengah baharu mereka dari Thailand iaitu Picha Autra sebagai rekrut pertama musim baharu.
Bekas ketua pasukan Muangthong United itu hadir dengan reputasi baik ditambah dia pernah berdepan Selangor dalam saingan Asia musim lepas.
Namun begitu, ia bukanlah penamat untuk Selangor kerana masih ada posisi-posisi penting perlu diisi oleh pemain tempatan atau import.
BACA LAGI: Jaga-jaga Selangor, Kedah-TFC ada sejarah import Thai 'flop' di Liga Super
BACA LAGI: 'Elak termasuk senarai import Thai flop, Picha Autra mesti cepat serasi bersama Selangor'
Bagi penyokong Selangor, Danial Mazalan, kehadiran Autra dilihat berisiko kerana rekod lampau pemain Thailand yang agak suram di Liga Super seperti Adisak Kraisorn dan Dennis Buschening.
Menurutnya, Autra mungkin tidak memberikan sebarang impak terutamanya dalam membantu Selangor dalam meraih kejuaraan.
"Secara realiti, saya rasa kehadiran Picha Autra tidak akan membawa piala buat Selangor. Hal ini disebabkan persiapan Selangor pun tidak begitu baik.
"Latihan pra-musim Selangor di Thailand pun tidak memberangsangkan kerana ia tidak cukup untuk membantu Selangor mendapatkan kejuaraan," kata Danial kepada Majoriti.
Untuk membolehkan Selangor kembali garang, mereka perlu mencari penyerang berkualiti supaya boleh mendapatkan jaringan yang banyak dan menggembirakan penyokong.
Beberapa nama seperti Ronnie Fernandez dan Richmond Boakye sebelum ini dilihat gagal untuk menggalas tugas dengan baik dalam memburu gol.
"Selain bahagian tengah, posisi serangan juga dilihat begitu penting buat Selangor. Sebelum ini, kita sering dikecewakan dengan penyerang seperti Fernandez dan Boakye. Malah, Ayron del Valle juga gagal mencuri hati penyokong sepenuhnya.
"Selangor perlu berasa bertuah kerana musim lalu kita ada Alvin Fortes dan banyak gol datang daripada dia. Hakikatnya, untuk bawa pulang piala, kita mesti ada penyerang-penyerang lebih berkualiti berbanding yang sebelum ini," jelas Danial.
Untuk musim baharu, Selangor memerlukan skuad besar dengan mereka akan beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 dan Piala Shopee selain tugasan domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram