Masih belum ada kelab, Penang-Selangor-Kuching City boleh rekrut bintang warisan tak jadi


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Ferdy Druijf tidak mempunyai kelab selepas dilepaskan oleh Rapid Vienna di Austria.

SEBELUM ini, kita pernah dikejutkan dengan spekulasi mengatakan terdapat seorang pemain warisan gred A akan mewakili Harimau Malaya iaitu Ferdy Druijf.

Namun begitu, selepas menafikan yang dia tidak ada darah Malaysia, semuanya berakhir. Namun, tidak bagi kariernya.

Kini tidak mempunyai kelab, Druijf mungkin boleh meneroka bola sepak Malaysia dengan status bukan sebagai pemain warisan tapi pemain import.

BACA LAGI: 'Elak termasuk senarai import Thai flop, Picha Autra mesti cepat serasi bersama Selangor'

BACA LAGI: 'Itu semua tipu,' bintang LaLiga nafi berdarah warisan

Penang FC

Persiapan kelab Utara, Penang FC dilihat sudah bermula dengan latihan pra-musim sudah dilakukan untuk mencari keserasian antara muka sedia ada dan pemain baharu.

Namun begitu, ia tidak terlambat untuk Druijf menyertai mereka untuk menguatkan lagi barisan serangan mereka yang sudah ditunjangi Dylan Wenzel-Halls, Tchetche Kipre dan Danilo Sipovac.

Penang sudah memulakan latihan pra-musim mereka.

Kehadiran Druijf boleh menambah sengat serangan kepada Penang dan membantu Harimau Kumbang untuk lebih tajam selepas musim lalu mereka sering mengecewakan.

Ditambah dengan Pulau Pinang adalah lokasi pelancongan, mungkin ia boleh menarik Druijf untuk menyertai Penang musim depan.

Selangor FC

Jika Druijf berimpian untuk meneroka benua Asia, Selangor FC boleh menjadi destinasinya di Malaysia.

Dengan Selangor bakal berdepan pelbagai kejohanan tempatan, Asia Tenggara dan Asia, sudah pasti mereka memerlukan skuad besar untuk bersaing hebat dalam pelbagai kejuaraan.

Selangor akan beraksi di Asia sekali lagi.

Dengan tempat Ali Olwan dan Ronnie Fernandez masih belum terisi, Druijf mungkin boleh cuba memasuki skuad Selangor dengan menjadi penggempur utama mereka.

Asalkan dia dapat kekal bebas daripada kecederaan, Druijf pasti boleh mempunyai musim gemilang bersama Gergasi Merah.

Kuching City FC

Satu lagi kelab yang mengujakan untuk disertai oleh Druijf adalah dengan menyertai Kuching City FC di Sarawak.

Dengan kelab itu dalam proses tambah baik selepas menjalani kempen baik musim lalu, Aidil Sharin dilihat sebagai orang penting dalam usaha mengeluarkan potensi Druijf sebagai penyerang berkualiti.

Haziq Nadzli antara muka baharu Kuching City.

Kuching dilihat sebagai bakal menjadi pencabar untuk posisi ke Asia dalam saingan Liga Super musim depan dengan skuad mereka semakin lengkap di segenap posisi dengan pemain-pemain berkualiti.

Mungkin kita tidak dapat menyaksikan Druijf sebagai pemain warisan negara yang menyarung jersi Harimau Malaya. Namun, jika dia hadir ke sini sebagai pemain import, pasti akan tetap menjadi tumpuan ramai.