
KEMELUT pengurusan dan kewangan dialami sepanjang kempen 2024/25 menyaksikan nasib buruk menimpa Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC yang gagal memperolehi lesen kebangsaan bagi saingan Liga Super musim depan.
Ketiadaan kedua-dua kelab itu menyaksikan hanya terdapat 14 pasukan bertanding bagi kempen akan datang dengan Melaka FC dan Imigresen 'dinaikkan pangkat' dari Liga A1 Semi Pro sementara Brunei DPMM FC hadir sebagai pasukan jemputan.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan besar bahawa Sri Pahang FC yang menerima slot dalam Liga Super 2025/26 tidak akan menghantar pasukan kerana masih ada hal membelenggu pengurusan.
BACA LAGI: Bola sepak Malaysia makin suram jika Perak terkubur
BACA LAGI: Hantaran cetus persoalan, Clayton beri 'hint' tinggalkan TBG atau sahkan ura-ura Perak terkubur?
Sebanyak 14 pasukan akan berentap dalam Liga Super 2025/26 seperti mana dilaporkan MFL.
Jadi, sekiranya tiga pasukan gergasi tanah air itu sah tidak bertanding, ia akan menimbulkan persoalan mengenai masa depan pemain yang terpaksa mencari kelab baharu demi kelangsungan karier masing-masing.
Namun, apa yang ramai lupa adalah mengenai haluan pengendali kerana kesemua pasukan 'terkubur' itu dibimbing jurulatih berkelayakan dan masih memiliki masa depan cerah berdasarkan karier mereka setakat ini.
Selain berjaya menerapkan taktikal bersesuaian dengan kualiti pemain, ketiga-tiga mereka memikul peranan berat untuk menanam kesungguhan kepada anak-anak buah yang dibelenggu isu di luar padang.
Oleh itu, berdasarkan pemerhatian Majoriti, pengendali Sri Pahang FC, KDA FC dan Perak FC berpotensi meneruskan karier masing-masing meskipun peluang menembusi pasaran divisyen utama tanah air sedikit tipis.
1.Yusri Che Lah
Masa depan ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah sudah tentu menjadi perkara paling menarik untuk disaksikan kerana kelab itu dilaporkan tidak akan bersaing musim depan dalam mana-mana kejohanan.
Ini kerana jurulatih kelahiran Kangar, Perlis itu memiliki masa depan cerah selepas berjaya mencipta perubahan terhadap skuad The Bos Gaurus (TBG) meskipun tidak diberi bajet besar daripada pihak pengurusan.
Malah, sepanjang dua musim bergelar pengendali pasukan tersebut dalam Liga Super, Yusri kerap mengasah potensi bakat muda dengan kebolehan tersebut amat diperlukan dalam landskap bola sepak tempatan yang mahu mengurangkan kebergantungan terhadap import.
Yusri berkemampuan dalam mengasah bakat pemain muda. — Facebook/Perak FC
Jadi, dengan Perak FC akan terkubur, pilihan terbaik buat jurulatih berusia 49 tahun itu adalah dengan berkelana ke Pantai Timur untuk mencuba nasib bersama Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Kelab itu dilaporkan sedang dalam usaha penstrukturan semula selepas mendapat sokongan Tan Sri Annuar Musa dengan laporan mengatakan terdapat rombakan akan dilakukan terhadap barisan kejurulatihan.
Bagaimanapun, sekiranya tidak berpeluang bersama pasukan utama, Yusri boleh mencuba nasib bersama skuad muda KDN FC dengan pengalamannya mengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Perak FC boleh membuktikan kebolehannya bersama skuad pelapis.
2. Victor Andrag
Misi cukup sukar dipikul Victor Andrag sejak dilantik sebagai ketua jurulatih KDA FC pada November tahun lalu susulan pengunduran Nafuzi Zain yang memilih untuk menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Antara ujian getir dipikulnya adalah apabila perlu menyuntik semangat buat skuad Sang Kenari yang kelihatan tidak bermaya berikutan masalah kewangan serius dialami sejak permulaan musim.
Namun, peranan itu dipikul dengan agak baik memandangkan Victor hanya dapat mengerah kudrat daripada pemain muda dan sebahagian tonggak senior yang ada daripadanya enggan hadir ke sesi latihan.
Victor Andrag berjaya menyuntik semangat terhadap anak-anak buahnya. — Facebook/KDA FC
Ini termasuk kejayaan mengikat Perak FC di tempat lawan serta kemenganan ke atas musuh tradisi, Penang FC di Stadium Darul Aman, Kedah dengan keputusan itu membuktikan potensi dimilikinya.
Berdasarkan penilaian semasa, destinasi terbaik boleh dipilih bekas kapten Kedah itu adalah untuk kekal bersama pasukannya yang sedang dalam usaha beraksi dalam Liga A1 Semi Pro 2025/26.
Sekiranya permohonan itu diluluskan, skuad Sang Kenari perlu sekali lagi memberi kepercayaan buat Victor yang sudah merasai pahit getir bersama pasukan dengan momen sukar tersebut perlu dibalas.
3. Fandi Ahmad
Susulan khabar angin mengatakan Sri Pahang FC tidak akan berentap dalam Liga Super musim depan, laporan menyatakan khidmat Fandi Ahmad mula dirisik Kuala Lumpur (KL) City FC yang mahu melantiknya sebagai jurulatih skuad Warga Kota.
Keputusan tersebut diambil memandangkan legenda bola sepak Singapura itu pernah menghabiskan tempoh beberapa tahun di Lembah Klang ketika masih bergelar pemain dengan pelbagai momen manis dinikmati.
Tetapi, laporan semasa menyatakan proses rundingan antara kedua-dua pihak gagal mencapai kata putus dengan KL City FC difahamkan tidak dapat memenuhi permintaan gaji Fandi yang cukup berpengalaman.
Fandi Ahmad sebelum ini dikatakan sebagai antara calon jurulatih baharu KL City FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Jadi, langkah terbaik dimilikinya adalah untuk pulang ke negara kelahirannya dengan terdapat lambakan kelab Liga Perdana Singapura yang boleh menyambar khidmatnya sebelum musim baharu bermula.
Pasukan seperti Young Lions dan Tanjong Pagar yang merupakan dua kelab tercorot musim ini boleh dikatakan sebagai destinasi terbaik dengan Fandi Ahmad juga pastinya tertarik dengan peluang pulang ke Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram