Bekas import Kedah tak jadi gantung but, perkuat pendatang baharu divisyen utama Thai


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Sanrawat beraksi buat skuad Sang Kenari selama semusim dengan pengalamannya bersama Thailand diharapkan mampu memperkuatkan bahagian tengah pasukan. — Facebook/KDA FC

SELAIN Liga Super, jendela perpindahan turut disaksikan dalam arena bola sepak Thailand dengan setiap pasukan sedang sibuk membawa muka-muka baharu bagi saingan akan datang.

Di samping memasang cita-cita mendapatkan import dari benua Eropah mahupun Amerika Selatan, kelab bertanding turut difahamkan berminat membawa masuk bintang dari Malaysia.

Ini merupakan satu pendedahan bermakna buat pemain tempatan yang mahu menimba pengalaman di luar negara dengan mutu bola sepak di Thailand bakal menaikkan kualiti permainan masing-masing.

BACA LAGI: Hampir 2 tahun tiada kelab, bekas tonggak Kedah umum gantung but

BACA LAGI: Pernah berlagak sebelum dimalukan Harimau Malaya, fans Hijau Kuning masih belum dapat lupakan jeneral Thailand

Sanrawat yang beraksi buat skuad Gajah Perang mengumumkan persaraan tahun lalu. Agensi

Bagaimanapun, kisah berbeza diceritakan pasukan di divisyen bawahan yang pasti lebih tertarik mendapatkan khidmat bintang lokal mereka bagi mengelak kos operasi terlalu tinggi.

Antara pasukan mengambil langkah tersebut ialah Ayutthaya United yang disahkan membawa masuk bekas pemain skuad Gajah Putih, Sanrawat Dechmitr dengan perpindahan tersebut dirasmikan Ahad lalu.

"Lebih dikenali sebagai 'The Black Panther', Sanrawat dikenali dengan kebolehan melakukan hantaran tepat, ketenangan dan visi di atas padang. Dia akan membawa pengalaman bermakna yang pernah diraihnya buat pasukan," tulis kelab itu.

Jeneral tengah itu semestinya cukup sinonim dengan peminat bola sepak dalam negara kerana dia pernah beraksi selama semusim bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022.

Sepanjang bersama skuad Sang Kenari, Sanrawat merekodkan 20 penampilan, termasuk di pentas Piala AFC dengan hanya satu gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan dalam tempoh itu.

Sanrawat diumumkan sebagai rekrut baharu Ayutthaya United bagi kempen akan datang. Facebook/Ayutthaya United

Khidmatnya bagaimanapun tidak dikekalkan pada musim berikutnya yang menyaksikan pemain berkenaan menyertai sebuah kelab amatur meskipun ketika itu, terdapat beberapa kelab Thailand berminat dengannya.

Lebih mengejutkan lagi, pada Jun tahun lalu, dia secara tiba-tiba mengumumkan persaraan pada usia 34 tahun dengan keputusan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, pengumuman Ayutthaya United pada Ahad lalu itu mengesahkan Sanrawat sudah keluar dari persaraan yang bakal menyaksikannya menguatkan pasukan berkenaan bagi musim baharu.

Musim lalu, kelab tersebut menamatkan saingan divisyen kedua Thailand dengan status naib juara, sekali gus menyaksikan mereka kembali ke saingan liga utama buat kali pertama.

Pengalaman dimiliki Sanrawat di peringkat kelab serta bersama skuad Gajah Putih diharapkan mampu menjadikan Ayutthaya United pencabar untuk sekurang-kurangnya ke kelompok separuh teratas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram