Bola sepak Malaysia makin suram jika Perak terkubur


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Perak mengalami masalah kewangan yang serius.

MASALAH kewangan melibatkan kelab Liga Super, Perak FC menjadi tumpuan selepas muncul dakwaan mengatakan situasi mereka semakin parah hingga memberi kesan buat semua staf.

Bukan saja pemain dan barisan kejurulatihan terkesan, malah staf tidak terlibat dengan skuad (non-playing staff) turut terkesan dengan dakwaan mereka perlu mengosongkan pejabat kelab di Ipoh, Perak akibat tunggakan sewa.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Perak, Datuk Seri Azim Zabidi mendedahkan kantung kelab sudah 'kering' dan pelaburan RM30 juta semusim masih belum cukup.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kami sudah kering’, Pengerusi Perak FC kata pelaburan RM30 juta tak cukup tampung kos operasi kelab

BACA LAGI: [VIDEO] Prestasi tidak menentu buat Perak FC sukar tarik penaja — Azim Zabidi

Keadaan yang dialami oleh Perak mengejutkan pemerhati bola sepak kebangsaan, Hanif Miswan yang melihat kelab itu secara zahirnya dijalankan dengan betul.

Pada Hanif, apabila masalah sudah mula merebak kepada staf-staf lain, kelab itu benar-benar berada dalam masalah.

"Sangat menyedihkan kerana kalau kita lihat cara Perak diurus, pengurusan melakukan dengan baik. Malah, kelab itu sendiri diuruskan dengan cara seperti sebuah badan korporat.

"Tapi, kita pun sendiri ada dengar cerita yang pemain memang sudah lama tersangkut gaji, ada yang dapat separuh saja pun ada. Benda ini sangat menyedihkan dan tak sepatutnya berlaku, baik dalam mana-mana industri pun," kata Hanif kepada Majoriti.

Dengan pelbagai cerita kurang enak mengenai situasi kewangan Perak, Hanif risau yang skuad Seladang terpaksa menarik brek dan tidak menyertai Liga Super musim depan.

Perkara itu berpotensi untuk berlaku dan jika ia terjadi, Liga Super akan kehilangan satu lagi kelab yang mempunyai ramai penyokong seperti apa yang terjadi pada Kelantan FC dan berkemungkinan, Kedah Darul Aman FC.

"Boleh jadi kalau untuk lihat kelab itu terkubur kerana pendedahan baharu yang merisaukan. Malah, ada juga dakwaan mengatakan kelab meminta agar staf-staf terkesan mencari kerja lain dan jangan berharap kepada gaji sedia ada.

"Tapi saya harap ia tidak berlaku dan akan ada usaha minit akhir untuk menyelamatkan Perak kerana jika gagal, mereka terpaksa meninggalkan Liga Malaysia. Jika ia berlaku, saingan akan semakin suram," ujarnya.

Dalam situasi sukar ini, salah satu cara untuk kelab mendapatkan bantuan adalah menerusi kerajaan negeri. Namun bagi Hanif, Perak seharusnya mencari jalan lain bagi menyelamatkan kelab.

Baginya, ia merupakan satu langkah ke belakang sekiranya Perak cuba mendapatkan bantuan kerajaan negeri di saat Liga Malaysia di era penswastaan.

"Ia adalah satu langkah ke belakang. Saya tahu, ia adalah cara paling mudah dan popular dan jika kerajaan negeri lakukan, ia dapat meraih populariti dalam kalangan rakyat.

"Bagi saya, cara terbaik walaupun mungkin tidak popular adalah kenalkan salary cap. Jika ia diperkenalkan, gaji akan lebih terkawal, tiada gaji taraf kayangan untuk pemain namun lebih baik sentiasa ada gaji walaupun sedikit berbanding gaji besar namun sentiasa sangkut.

"Pada saya, dah tiba masa tindakan drastik diperkenalkan untuk salary cap ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram