Kekal di Darul Aman, cuma Victor Andrag bukan lagi milik Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 18 Jun 2025

Victor Andrag kini sah membimbing Kedah FA bagi musim 2025/2026. — Facebook

BEKAS pemain kebangsaan dan figura penting bola sepak Kedah, Victor Andrag terus menyumbang bakti di bumi Darul Aman, namun bukan lagi sebagai Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Sebaliknya, pengendali berusia 49 tahun itu kini diberikan tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA bagi musim 2025/2026, khusus untuk mengemudi cabaran dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

Pelantikan itu diumumkan secara rasmi oleh Kedah FA menerusi hantaran di laman Facebook mereka pada Rabu.

BACA LAGI: 'Mainlah sepenuh hati’, legenda Sabah sokong kepulangan anak jati ke Negeri Di Bawah Bayu

BACA LAGI: JDT lepaskan 11 bintang termasuk Jordi Amat-Farizal Marlias, sentuhan Safiq Rahim ditagih jadi pembantu jurulatih

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju Victor selepas menggalas tugas sebagai jurulatih interim KDA FC musim lalu.

“Kedah FA hari ini (Rabu) mengumumkan pelantikan Victor sebagai Ketua Jurulatih bagi musim 2025/2026 bagi saingan Liga A1 Semi-Pro,” menurut kenyataan ringkas itu.

Victor sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan kejurulatihan bersama KDA FC, termasuk sebagai ketua jurulatih interim dan penolong jurulatih, serta dikenali sebagai individu yang cukup memahami DNA bola sepak Kedah.

Pelantikan beliau oleh Kedah FA dilihat sebagai langkah untuk memanfaatkan pengalaman serta pengaruh besar yang dimiliki dalam usaha membangunkan semula pasukan di pentas separuh profesional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram