SUKMA 2026 pentas terakhir Anson Yeo sebelum bergelar pemain golf profesional


  • Podium
  • Khamis, 19 Jun 2025

Anson Yeo bakal bertukar status daripada pemain amatur kepada profesional tahun depan.

BINTANG golf amatur negara, Anson Yeo berhasrat untuk menjadi pemain golf profesional bermula tahun hadapan.

Pemain berusia 19 tahun itu mendedahkan perancangannya itu selepas berjaya meraih gelaran Piala Cabaran TSM edisi ke-14 di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara pada Khamis.

Menurut Anson, dia merancang untuk melebarkan kariernya menjadi pemain profesional selepas bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

BACA LAGI: Bukan sekadar 'squad depth', Selangor perlukan bintang muda, cabar posisi pemain import — Akmal Rizal

BACA LAGI: 'Ubi warisan' terus kekal di Eropah, cerahkan potensi selit ke skuad Harimau Muda

Anson bersama trofi kejuaraan Piala Cabaran TSM.

"Saya akan menjadi pemain profesional pada tahun hadapan selepas SUKMA. SUKMA tahun hadapan adalah yang terakhir untuk saya," kata Anson.

Anson muncul juara bagi kategori lelaki selepas mencatatkan 203 pukulan, 10 di bawah par hasil daripada tiga pusingan.

Dia bagaimana pun hanya menang tipis dengan perbezaan enam pukulan berbanding tempat kedua iaitu Rizq Adam Rohizam yang mendapat 209 pukulan, empat di bawah par.

Melihat kepada keputusan itu, Anson berkata masih banyak perlu dibaiki olehnya sebelum menjadi pemain profesional terutamanya dari segi mental.

Hal ini kerana, dia mengakui tenggelam dengan tekanan dalam pertandingan ini. Sebelum itu, dia mendahului pencabar terdekat dengan 10 pukulan sebelum jurang itu dikecilkan kepada enam.

"Saya rasa saya tidak dapat atasi tekanan dengan baik. Saya sering mencatatkan 10, 11 bogey terutamanya pada hari kedua.

"Ia agak mengecewakan saya kerana saya sudah mendahului dengan jurang yang besar namun pesaing terdekat berjaya mengekori saya. Bagi saya, tahap mental saya perlu dibaiki," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram