
PERTIKAIAN dalam kalangan waris terhadap pembahagian harta selepas kematian semakin meningkat, dengan separuh daripada kes pusaka yang diuruskan kini dibawa ke mahkamah berbanding hanya satu dalam 10 kes sedekad lalu.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad (Wassiyah) , Ariffin Sabirin berkata, berdasarkan pengalamannya selama lebih 21 tahun dalam industri hibah dan pewarisan, peningkatan cabaran ini amat ketara sejak 10 tahun kebelakangan ini.
"Pada dekad pertama operasi kami, hanya satu daripada 10 kes pusaka yang dicabar. Sembilan lagi diselesaikan secara aman kerana semua waris menghormati dokumen hibah yang ditinggalkan si mati.
BACA LAGI : Hak waris lepas hibah perlu dibuat bersama, Wassiyah sedia bantu sesiapa yang terkesan
BACA LAGI : Mudah lebam, selalu keliru antara tanda penyakit hati — Pakar
"Tapi kini, dalam tempoh 2015 hingga 2025, daripada 10 kes yang kami kendalikan, lima hingga enam daripadanya dicabar waris di mahkamah," katanya dalam satu sidang media di Kelab Golf Negara Subang dekat Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin
Menurut Ariffin, perubahan itu dipercayai berpunca daripada beberapa faktor utama termasuk keadaan ekonomi semasa yang mendorong waris untuk menuntut hak, walaupun mereka bukan penerima yang sah.
"Dulu, waris mungkin stabil dari segi kewangan, jadi mereka tidak kisah jika tidak menerima harta.
"Tapi sekarang, dalam keadaan ekonomi mencabar, peluang untuk dapatkan harta dianggap penting, walau dengan mencabar dokumen hibah," ujarnya.
Tambahnya lagi, kelemahan institusi kekeluargaan juga menjadi punca utama, apabila hubungan adik-beradik semakin renggang dan mudah dipengaruhi pihak ketiga seperti menantu atau ipar-duai.
"Kami dapati pengaruh pasangan juga mendorong seseorang waris menuntut apa yang dirasakan ‘hak’ mereka, walaupun bertentangan dengan hasrat si mati," katanya.
Faktor lain, katanya, termasuk peningkatan nilai aset seperti hartanah yang menjadikan pertikaian lebih sengit, khususnya apabila nilai hartanah mencecah jutaan ringgit.
"Lebih tinggi nilai harta, lebih besar kecenderungan untuk ia dipertikaikan. Bila melibatkan jutaan ringgit, semangat kekeluargaan pun boleh diketepikan," tegasnya.
Ariffin berkata, trend ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja melambatkan proses pengagihan pusaka, malah turut meretakkan hubungan antara waris yang sepatutnya saling menyokong selepas kematian ahli keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram