Onana-Altay ditunjuk pintu keluar, penjaga gol Serie A jadi pilihan Man United


  • Podium
  • Selasa, 06 Mei 2025

Masa depan Onana dan Bayindir masih samar-samar sama ada kekalkan atau lepaskan mereka. — Agensi

MANCHESTER United sedang merancang langkah besar menjelang jendela perpindahan musim panas, dengan beberapa pergerakan pemain dijangka berlaku dalam usaha memperkukuh skuad di bawah pengurusan baharu kelak.

Walaupun penyerang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha antara nama yang menjadi perhatian, kelab gergasi Inggeris itu turut aktif memantau beberapa sasaran lain termasuk di posisi penjaga gol.

Menurut sumber yang dipetik oleh media luar negara, Givemesport, penjaga gol utama Torino iaitu Vanja Milinkovic-Savic dimasukkan ke dalam senarai sasaran Man United untuk musim baharu nanti.

BACA LAGI: Cemerlang di Perancis, Man United patut panggil semula 'bintang terbuang' selesaikan krisis mesin gol tumpul

BACA LAGI: Jika hanya mahu main UCL, jangan datang ke Man United — Ruben Amorim

Difahamkan, perbincangan awal sudah dimulakan bagi menilai kemungkinan perpindahan penjaga gol Serbia tersebut ke Man United dengan ia bergantung kepada tanda harga yang diletakkan oleh kelab Itali tersebut.

Milinkovic-Savic yang beraksi cemerlang bersama Torino musim ini di bawah kendalian Paolo Vanoli sudah menunjukkan ciri kepimpinan dan ketegasan yang menjadikannya pemain utama kelab. Persembahannya turut menarik minat beberapa kelab Serie A lain.

United dilaporkan sudah mendapatkan maklumat lanjut mengenai nilai pasaran pemain setinggi 2,02 meter itu dan mengadakan perbincangan tidak rasmi sebagai langkah awal.

Sumber juga menjangkakan bahawa Milinkovic-Savic kemungkinan besar akan meninggalkan Torino pada musim panas ini.

Dalam masa sama, masa depan dua penjaga gol skuad The Red Devils ketika ini iaitu Andre Onana dan Altay Bayindir turut menjadi persoalan sama ada kekalkan atau lepaskan mereka.

Onana kini menarik minat berterusan daripada kelab Liga Pro Saudi, walaupun penjaga gol berusia 29 tahun itu masih komited untuk membantu United menjulang trofi Liga Europa dan berharap dapat kekal di Old Trafford.

Bayindir pula berpotensi meninggalkan kelab dalam usaha mencari minit permainan yang lebih konsisten, selepas beberapa tawaran berpindah ditolak oleh pihak kelab pada jendela perpindahan Januari lalu.

Milinkovic-Savic cemerlang bersama Torino. — Agensi

Susulan itu, United kini meneroka pasaran penjaga gol dengan serius dan Milinkovic-Savic muncul sebagai salah satu calon utama. Difahamkan, pemain berusia 27 tahun itu juga bersedia untuk berpindah sekiranya kesepakatan dapat dicapai antara kedua-dua kelab.

Segala-galanya kini bergantung kepada keputusan akhir yang akan dibuat oleh Manchester United serta rundingan harga dengan Torino, manakala Milinkovic-Savic menunggu perkembangan lanjut mengenai masa depannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram