
JURULATIH berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan peminjaman semula Azam Azmi Murad ke pasukan Terengganu FC (TFC) adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bukanlah satu keputusan yang menafikan kemampuan pemain muda itu.
Menurut Sulaiman, pada awalnya Azam Azmi dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menggantikan tonggak utama JDT iaitu Matthew Davies, yang mungkin sudah memerlukan pesaing atau pengganti di posisi pertahanan kanan.
Namun, selepas penilaian semula dilakukan oleh barisan kejurulatihan juara 11 kali Liga Super berturut-turut itu, prestasi Azam Azmi mungkin dikatakan mungkin masih belum mencapai tahap yang dikehendaki oleh pasukan tersebut.
BACA LAGI: Terengganu sambung lagi pinjam Azam Azmi, buang 9 pemain termasuk 5 import
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Asnawi Mangkualam, kini giliran bek kanan Sang Penyu pamer skil tackle Garnacho
"Mungkin selepas dinilai semula, prestasi Azam Azmi belum mencapai standard yang ingin JDT dimahukan. Oleh itu, untuk memastikan pemain ini daripada kurang minit permainan, lebih baik pemain ini dipinjamkan kembali kepada pasukan asal.
"Peminjaman itu untuk memastikan pemain itu (Azam Azmi) sentiasa konsisten bermain dan mungkin apabila sampai masanya kelak Azam Azmi Murad akan mengambil alih tempat main Davies," katanya kepada Majoriti.
Keputusan meminjamkan Azam Azmi kembali ke Terengganu adalah langkah terbaik untuk memastikan pemain muda itu terus konsisten mendapat minit permainan dan kekal berada pada tahap prestasi tertinggi.
Mengulas mengenai persembahan semasa pemain itu, Sulaiman tidak menafikan Azam Azmi menunjukkan peningkatan ketara termasuk dalam aksi menentang Manchester United baru-baru ini, namun mungkin pihak kejurulatihan JDT merasakan masih ada pemain lain yang lebih layak ketika ini.
“Mengikut prestasi semasa Azam Azmi dan berpandukan prestasi lawan Man United tempoh hari, nampak prestasinya berada pada prestasi yang terbaik. Tapi mungkin di pihak kejurulatihan JDT melihat mereka ada pemain yang lebih baik.
"Kemungkinan untuk Azam Azmi tidak bermain di peringkat Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) hanyalah sementara. Mungkin di masa hadapan apabila prestasi dan kematangan Azam Azmi mencapai apa yang dikendaki kejurulatihan JDT, pasti dia akan membarisi pasukan utama," jelasnya.
Azam Azmi baru-baru ini dipilih membarisi skuad Asean All Stars dengan pasukan projek itu menafikan hasrat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United untuk menang di bumi Malaysia selepas menang 1-0 pada aksi Piala Cabaran pada 28 Mei lepas.
Dalam pada itu, Sulaiman berharap peminjaman itu tidak akan berlarutan terlalu lama dan Azam Azmi terus berusaha mempamerkan prestasi cemerlang demi menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama JDT pada masa akan datang.
Garnacho vs Azam Azmi. @ASTROARENA pic.twitter.com/VcrKzcvRhC
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 28, 2025
“Saya harap peminjaman ini tidak terlalu lama. Kita nak lihat juga Azam menyarung jersi JDT dan beraksi dalam saingan utama Asia seperti ACLE. Segalanya bergantung kepada prestasinya dan juga percaturan JDT.
"Saya berharap Azam Azmi terbuka dengan peminjaman ini dan tidak mematahkan semangatnya dan akan berusaha untuk berada dalam prestasi terbaik dan satu hari nanti akan menganggotai pasukan utama JDT dan beraksi di saingan elit di Asia," jelasnya.
Sebelum ini, skuad Sang Penyu mengesahkan untuk kekal mendapatkan khidmat Azam Azmi sebagai pemain pinjaman dari skuad Harimau Selatan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026.
Ini adalah tahun kedua Terengganu mendapatkan khidmat Azam Azmi secara pinjaman apabila pada kempen 2024/2025 menyaksikan Sang Penyu melakukan perkara sama. Bek kanan itu sah menandatangani kontrak bersama JDT pada awal tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram