'Saya nak beri dia makan roti canai dan nasi lemak', Safee Sali sedia main gim kawal John Terry, teruja diletak sebaris 3 bintang EPL


  • Podium
  • Khamis, 19 Jun 2025

John Terry antara bintang bola sepak akan turut serta dalam acara Zurich Liga 7x7 All Stars 2025.

PENYERANG legenda Harimau Malaya, Safee Sali menjadi satu-satunya pemain tanah air yang diletakkan sebagai kapten untuk perlawanan bola sepak tujuh sebelah Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 pada 19 Julai 2025 bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur.

Acara hebat itu melibatkan legenda luar negara seperti bintang Manchester United iaitu Ryan Giggs dan Dimitar Berbatov serta kapten terhebat sepanjang zaman Chelsea, John Terry.

Menjelang perlawanan itu, Safee turut menyifatkan Giggs dan Terry sebagai ancaman utama dalam kejohanan tersebut, memandangkan kedua-duanya masih kelihatan bertenaga dan cergas walaupun telah bersara.

BACA LAGI: Lupakan EPL, Kogi kongsi jadual Liga Korea, sepatutnya wajar jadi contoh MFL

BACA LAGI: Fasa 2 pemain campuran dijangka Ogos, terserah kepada jurulatih mahu letak lebih ramai warisan atau tak — Safee Sali

“Dia (Giggs) masih fit, dan barisan pemain pasukannya pun boleh tahan. Untuk John Terry pula, saya pula rasa perlu ke gim selepas ini.

"John Terry itu besar, tinggi, kuat. Harap dapat bagi dia makan nasi lemak dan roti canai,” katanya berseloroh ketika ditemui selepas sidang media acara itu di sebuah hotel di ibu kota pada Khamis.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga meluahkan keterujaannya terhadap penganjuran Liga X 7, satu inisiatif baharu yang dianggap mampu menyuntik semangat dan warna baru dalam landskap bola sepak negara.

Menurutnya, kehadiran nama besar seperti Terry, Giggs dan Berbatov dalam kejohanan terbabit bukan sekadar hiburan, malah menjadi penanda aras buat pemain-pemain tempatan untuk berimpian lebih jauh.

Safee menyifatkan penganjuran ini sebagai satu bentuk pengiktirafan tinggi kepada bola sepak Malaysia dan pemain tempatan, sekaligus membuka ruang untuk meletakkan mereka setanding legenda-legenda antarabangsa.

"Alhamdulillah (saya dijemput sebagai legenda). Perkara itu berlaku dengan recognition yang sangat tinggi. Bagi saya, ini adalah peluang untuk meletakkan pemain bola sepak di Malaysia. Bukan biasa-biasa.

"Saya diletakkan sebaris dengan John Terry dan Ryan Giggs. Benda ini adalah penanda aras untuk generasi seterusnya. Kita perlu berusaha sedikit lagi untuk setanding dengan mereka selepas ini.

"Mengenai kemenangan, buat masa sekarang, saya hanya menikmati perlawanan ini dengan rakan-rakan. Saya rasa semua perlawanan akan dibuat secara adil," kata Safee yang mewakili pasukan Harimau.

Safee akui menikmati suasana pertandingan yang seimbang dan kompetitif, sambil memuji penyertaan rakan-rakan sepasukan seperti Norshahrul Idlan Talaha, Kogileswaran Raj dan Indra Putra sebagai bukti kepelbagaian dan keadilan dalam pemilihan pasukan.

 

 

“Kita tak pernah pun berlatih bersama. Mungkin sehari sebelum kami akan lakukan latihan bersama. Tapi inilah bola sepak komuniti, ia menyatukan semula, membentuk balik chemistry yang dulu pernah ada.

"Saya harapkan benda ini banyak dijalankan di Malaysia. Kita tahu bola sepak menyatu padukan rakyat. Kita perlukan acara-acara seperti ini untuk membawa kembali semangat perpaduan di Malaysia," jelasnya.

Barisan Pasukan Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 terdiri daripada empat pasukan hebat yang diketuai oleh tokoh ternama:

Pasukan Bangsa Bola – Diuruskan oleh Tan Sri Nazir Razak, diketuai oleh John Terry.

Pasukan Zurich – Diketuai oleh Junior Cho, menampilkan Dimitar Berbatov.

Pasukan Wizards – Diuruskan oleh Khairy Jamaluddin, diketuai oleh Ryan Giggs.

Pasukan Harimau – Diketuai oleh Tan Sri Tony Fernandes, dengan Safee Sali sebagai kapten pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram