Usia muda bukan penghalang Harith Haiqal, tonggak Terengganu, Penang dilantik kapten baharu


  • Podium
  • Ahad, 22 Jun 2025

Harith Haiqal yang baru berusia 22 tahun sudah diberi kepercayaan memakai lilitan tangan beberapa kali musim lalu.

SELEPAS kira-kira dua minggu jendela perpindahan dibuka, aktiviti kelab-kelab Liga Super masih boleh dikatakan sedikit perlahan apabila hanya beberapa kelab mengumumkan muka-muka baharu.

Johor Darul Ta'zim (JDT), Negeri Sembilan FC dan Penang FC boleh dikatakan pasukan paling sibuk dengan masing-masing sudah membawa masuk rekrut bagi menghadapi kempen akan datang.

Meskipun kemeriahan tidak begitu dirasakan, masih terdapat kelab yang terlebih dahulu menunjukkan jalan keluar buat beberapa pemain musim lalu yang dirasakan kurang memberi impak.

BACA LAGI: [VIDEO] Harith Haiqal sah kekal dalam pangkuan Gergasi Merah, tamatkan gosip ke JDT

BACA LAGI: 'Hidup mati Selangor', Harith Haiqal sedia warisi lilitan kapten Gergasi Merah

Sudah menjadi kebiasaan untuk pemain berpengalaman memakai lilitan tangan kapten. Gambar hiasan

Bagaimanapun, ada pula pasukan yang mengambil langkah lebih serius dengan melepaskan tonggak, termasuk kapten kelab atas faktor tersendiri dengan usia kian meningkat menjadi antara punca utama.

Pemergian pemain berpengaruh itu sekali gus menimbulkan persoalan, siapakah pengganti yang mempunyai karisma dan pengalaman untuk menjadi pemimpin di atas padang dan di dalam bilik persalinan.

Tetapi, tidak mustahil sekiranya pihak kejurulatihan bertindak melantik bintang lebih muda untuk memakai lilitan tangan itu kerana berjaya mempamerkan sikap kepimpinan.

Situasi tersebut tidak mustahil disaksikan dalam Selangor FC, Terengganu FC dan Penang FC yang dijangka memberi kepercayaan tersebut kepada pemain yang kurang berpengalaman, namun cukup matang untuk diangkat sebagai kapten.

1. Harith Haiqal (Selangor FC)

Perpindahan keluar Safuwan Baharudin dari skuad Gergasi Merah sudah diketahui sebelum tamatnya kempen Liga Super 2024/25 memandangkan usianya sudah mencecah 33 tahun.

Meskipun keputusan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong, mereka pasti terbuka akan pemergian pemain kebangsaan Singapura itu kerana ada pemain yang bersedia mengisi kekosongan peranan kapten.

Harith Haiqal dilihat sebagai calon terbaik untuk menggantikan Safuwan Baharudin. Facebook/Selangor FC

Calon utama sudah tentu bek tengah, Harith Haiqal yang sebelum ini diberi kepercayaan sedemikian, termasuk semasa Safuwan meninggalkan padang dalam aksi terakhirnya dalam jersi Selangor FC.

Tenang, berpengalaman dan tegas membuat keputusan merupakan antara elemen utama dimiliki pemain pertahanan terbabit yang menjadikannya nadi utama skuad Gergasi Merah.

Tidak cukup dengan itu, status Harith sebagai anak jati Klang, Selangor menjadikannya cukup sesuai untuk memikul peranan tersebut jika berjaya meraih kepercayaan pengendali, Katsuhito Kinoshi.

2. Azam Azmi Murad (Terengganu FC)

Seperti Selangor FC, Terengganu FC turut memiliki lambakan pemain bersedia memikul peranan kapten selepas beberapa tonggak memakai lilitan tangan itu sekiranya Manuel Ott tidak beraksi.

Antaranya, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Safawi Rasid kerana masing-masing berpengalaman dan menjadi tonggak utama skuad Sang Penyu kerana cemerlang dalam peranan tersendiri.

Azam Azmi (tengah) masih terus berbakti buat skuad Sang Penyu musim depan. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian, terdapat kemungkinan pengendali, Badrul Afzan Razali akan memberi kepercayaan itu kepada bek kanan, Azam Azmi Murad yang lebih muda.

Ini kerana bek kanan Terengganu FC itu terus cemerlang dalam peranannya musim lalu, lebih-lebih lagi semasa kekal cergas meskipun pasukan Pantai Timur terbabit hanya menduduki tangga kelima liga.

Azam Azmi juga tidak mempunyai masalah untuk kekal berkhidmat buat skuad Sang Penyu memandangkan dia dipinjamkan semusim lagi dari JDT, sekali gus menjadikannya calon sesuai menggantikan Manuel Ott.

3. Adib Ra'op (Penang FC)

Jendela perpindahan kali ini menyaksikan rata-rata pemain Penang FC musim lalu mengucapkan selamat tinggal buat kelab tersebut, termasuk kapten, Rafael Vitor yang kembali ke Brazil.

Selain terpaksa mencari pengganti kepada posisi bek tengah, pasukan Utara tanah air itu juga perlu mengenal pasti pemain manakah yang paling sesuai untuk mewarisi peranan kapten bagi kempen akan datang.

Adib Ra'op sudah cukup bersedia menggantikan Rafael Vitor sebagai kapten skuad Harimau Kumbang. Instagram/Adib Ra'op

Melihat kepada skuad ketika ini, calon terbaik sudah tentu bek kiri pasukan, Adib Ra'op yang merupakan tunjang utama kelab dari segi pertahanan mahupun dalam aspek serangan.

Usianya yang baru mencecah 25 tahun tidaklah menjadi penghalang buatnya mendapatkan kepercayaan daripada Wan Rohaimi Wan Ismail selepas membuktikan diri setiap kali diturunkan.

Selain itu, pengalaman Adib yang pernah beraksi dalam skuad kebangsaan menjadikannya calon terbaik berbanding rakan sepasukan yang belum berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram